KUALA LUMPUR 26 Mei – Kerajaan Pakatan Harapan diingatkan supaya tidak gopoh mengubah struktur kerajaan terdahulu kerana dibimbangi mendatangkan kesan lebih buruk sekiranya tiada perancangan bijak serta menyeluruh.
Felo Penyelidik (Undang-undang dan Perlembagaan) Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr. Muhammad Fathi Yusof memberitahu, keputusan penstrukturan tidak hanya boleh dibuat secara arahan dari atas tetapi perlu melalui proses perbincangan dengan agensi terlibat serta pihak berkepentingan.
Beliau mengibaratkan memimpin kerajaan seperti menatang minyak yang penuh, perlu berhati-hati kerana jika melakukan kesilapan mangsanya adalah kesejahteraan, keselamatan dan kemakmuran rakyat serta negara.
“Memimpin kerajaan bukan seperti bermain catur. Dalam catur, mangsanya sekadar bidak-bidak catur yang tidak bernyawa, bahkan jika kecundang anda boleh bermain semula.
“Dalam menentukan struktur kerajaan misalnya, soal fungsi kementerian dan jabatan, bidang tugas, bidang kuasa menurut undang-undang, sejarah penubuhan, agihan tugas dengan badan lain, aspek sumber manusia, serta kecekapan organisasi perlu diberikan perhatian,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook beliau hari ini. – UTUSAN ONLINE











