SEBERANG PERAI – Seorang jurujual telefon bimbit mengalami kecederaan selepas terkena tiga das tembakan yang dilepaskan seorang lelaki di Jalan Sentosa, Bukit Mertajam di sini pada pukul 11.26 pagi tadi.
Mangsa lelaki berusia 22 tahun itu telah dikejarkan ke Hospital Bukit Mertajam dengan bantuan orang awam yang berada berhampiran lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid berkata, siasatan di tempat kejadian menemui kesan tembakan pada bahagian kanan kereta yang dipandu mangsa selain menjumpai 11 kelongsong peluru.
“Siasatan awal, mangsa semasa itu dalam perjalanan pulang ke rumahnya sebaik selesai menjamu selera di sebuah medan selera yang berhampiran.
“Suspek yang memandu kereta dan memakai sarung muka telah melepaskan tembakan ke arah cermin kanan kereta terbabit. Mangsa sempat keluar dari keretanya serta mendapat bantuan orang awam,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian di sini sebentar tadi. – K! ONLINE











