BERA 26 Mei – Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob masih berteka-teki berhubung jawatan yang akan ditandinginya pada pemilihan parti itu.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Bera berkata, keputusan berhubung perkara itu akan dibuat selepas selesai mesyuarat UMNO cawangan Bera.
“Saya belum buat keputusan dan apa-apa hal saya hendak memberi tumpuan kepada Bera dahulu.
“Selesai mesyuarat cawangan, baru saya buat keputusan,” katanya pada majlis perasmian berkelompok mesyuarat tahunan UMNO cawangan dan sayap-sayap Bahagian Bera 2018 di Dewan UMNO Bera di sini hari ini.
Mesyuarat cawangan UMNO dijadualkan dari 19 Mei hingga 10 Jun diikuti mesyuarat Wanita, Pemuda dan Puteri pada 23 Jun sebelum mesyuarat bahagian pada 30 Jun ini.
Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, keputusan Majlis Tertinggi UMNO bersetuju mempertandingkan semua jawatan pada pemilihan akan datang menunjukkan perubahan dan pembaharuan dalam parti itu.
Katanya, keputusan itu amat tepat bagi memberi peluang kepada ahli-ahli akar umbi menentukan pemimpin yang akan menerajui parti berkenaan dalam berhadapan pelbagai cabaran untuk memperkasakannya. – UTUSAN ONLINE











