BUENOS AIRES 26 Mei – Penjaga gol, Nahuel Guzman dipanggil untuk menyertai skuad Argentina bagi menggantikan Sergio Romero selepas nama pemain Manchester United itu dikeluarkan daripada senarai 23 pemain untuk aksi Piala Dunia 2018 di Rusia selepas mengalami kecederaan lutut.
Perkara tersebut disahkan oleh Persatuan Bola Sepak Argentina (AFA), baru-baru ini.
Guzman yang beraksi bersama kelab Mexico, Tigres kini menyertai dua lagi penjaga gol Argentina iaitu pemain Chelsea, Willy Caballero dan Franco Armani daripada River Plate untuk berada dalam senarai 23 pemain ke Rusia.
Jurulatih Argentina, Jorge Sampaoli berkata, dia tidak mengambil masa lama untuk membuat keputusan memanggil Guzman selepas Romero disahkan mengalami kecederaan.
Kata AFA, Romero yang juga penjaga gol utama Argentina kini memerlukan pembedahan di bahagian lutut kanan.
Ketiadaan pemain penjaga gol berpengalaman seperti Romero memberikan impak besar kepada persediaan Argentina dalam menghadapi kempen Piala Dunia kali ini.
Guzman, 32 tahun telah meraih tiga gelaran liga bersama Tigres dan telah enam kali membuat penampilan bersama pasukan kebangsaan sejak 2015 dengan terakhir ialah ketika aksi persahabatan menentang Singapura pada tahun lalu yang berkesudahan dengan kemenangan 6-0.
Selepas ini Argentina dijadual menentang Israel pada 9 Jun ini sebelum memulakan kempen di Rusia yang menyaksikan juara dua kali Piala Dunia itu diundi bersama Iceland, Croatia dan Nigeria dalam Kumpulan D. – REUTERS











