MILAN 26 Mei – Jurulatih baharu Napoli, Carlo Ancelotti berjanji akan menamatkan kemarau pasukan itu selama 28 tahun untuk merangkul kejuaraan Serie A apabila disahkan mengambil alih jawatan daripada Maurizio Sarri dengan kontrak tiga tahun.
Ancelotti dipecat oleh Bayern Munich pada September lalu dibawa masuk selepas Sarri gagal membantu Napoli untuk menjulang Serie A apabila menamatkan saingan di tempat kedua di belakang Juventus.
Kali terakhir Napoli memenangi Serie A ketika kelab itu diketuai oleh legenda Argentina, Diego Maradona pada 1990.
“Saya sangat gembira kerana dapat pulang ke negara sendiri dan berkhidmat untuk salah satu kelab terbaik di Itali. Matlamat saya adalah menakluki Scudetto selepas 28 tahun. Kami teruja dengan cabaran yang bakal dihadapi dan bersedia untuk bab baharu dalam bola sepak,” kata Ancelotti.
Itu merupakan jawatan pertama Ancelotti bersama kelab Itali selepas meninggalkan AC Milan pada 2009 setelah memimpin kelab tersebut memenangi Scudetto dan dua trofi Liga Juara-Juara.
Ancelotti turut mendedahkan walaupun menerima pelbagai tarawan lumayan daripada kelab di Eropah dan Asia malah mengemudi skuad kebangsaan Itali namun dia tetap dengan pendiriannya untuk memilih Napoli.
Bekas jurulatih Chelsea, Real Madrid dan Bayern Munich itu dilaporkan bersetuju dengan kontrak perjanjian sebanyak 6.5 juga euro (RM30 juta) setahun.
Berdasarkan protfolio Ancelotti, dia pernah memenangi tiga trofi Liga Juara-Juara selain menjuarai liga Itali, Perancis, Jerman dan England. Dia akan diperkenalkan kepada kelab baharunya itu secara rasmi pada 9 Julai ini.
Sementara itu, Sarri dikaitkan bakal berhijrah ke Chelsea dan Zenit Saint Petersburg.
Jurulatih berusia 59 tahun itu sudah pun menghabiskan tiga musim bersama Napoli dengan kontraknya bakal tamat pada 2020. – AFP











