LONDON 25 Mei – Berjaya membantu Liverpool memenangi Piala Eropah buat kali keenam di Kiev merupakan kejayaan yang diimpikan Georginio Wijnaldum sejak hari pertama dia menyertai kelab tersebut dua tahun lalu, kata pemain tengah tersebut.
Liverpool bakal berdepan juara bertahan, Real Madrid di Ukraine Sabtu ini (Ahad pukul 2.45 pagi waktu Malaysia) dan pemain kebangsaan Belanda Wijnaldum tidak sabar untuk menyertai barisan pemain Liverpool untuk memenangi pertandingan kelab elit Eropah itu.
“Ya, memang benar, saya impikan kejayaan sebegini sejak menyertai Liverpool lagi.
“Semasa saya tiba di Anfield, saya berazam membantu kelab ini memenangi lebih banyak trofi daripada apa yang mereka ada,” kata Wijnaldum yang tiba di Liverpool dari Newcastle pada 2016.
Tiada seorang pun daripada skuad Reds sedia ada memiliki pengalaman beraksi di pentas akhir Liga Juara-Juara sebelum ini dan pemain berusia 27 tahun itu sedar kemenangan pada final itu nanti hanyalah ‘secebis’ kejayaan jika dibandingkan dengan pencapaian legenda kelab tersebut suatu ketika dahulu.
“Terdapat beberapa pemain di sini yang telah merangkul banyak kejayaan, mereka semua adalah legenda. Sebagai contoh Kenny Dalglish, saya tidak fikir hanya memenangi Liga Juara-Juara, kami setaraf dengannya.
“Jika anda beraksi lebih banyak, memenangi lebih banyak trofi, sudah tentu anda akan setaraf dengan legenda ini. Yang pasti, jika anda memenangi Liga Juara-Juara ia merupakan sejarah.
“Berapa banyak pemain yang mengatakan mereka telah menangi Liga Juara-Juara? Tidak banyak,” ujarnya.
Wijnaldum sudah membuat 11 penampilan dalam pertandingan itu musim ini dan kebolehan pelbagainya di posisi tengah sentiasa ditagih pengendali dari Jerman, Klopp.
“Saya telah dilatih untuk bermain dengan pelbagai posisi. Saya pernah bermain selaku pertahanan tengah, memainkan peranan sebagai No. 6 bukan seperti yang kebiasaan.
“Nampaknya ia sesuai dengan saya sekali gus memberikan bonus kepada jurulatih. Anda perlu mempelajari posisi ini dan saya sehingga kini masih mendalaminya agar ia memberi manfaat sepenuhnya,” tambahnya.- REUTERS











