Gubal segera akta cegah manipulasi dana politik - Utusan Malaysia

Gubal segera akta cegah manipulasi dana politik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 26 Mei – Akta khas berkenaan dana politik perlu digubal segera bagi memastikan setiap sumbangan yang diterima oleh mana-mana parti politik dapat dikawal selia sekali gus mengelakkan sebarang manipulasi oleh pihak berkepentingan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pakar geostrategis, Azmi Hassan berkata, sudah tiba masanya kerajaan Pakatan Harapan (PH) mewujudkan mekanisme khusus dengan menggubal akta bersesuaian bagi mengawal aktiviti pembiayaan politik dari dalam atau luar negara.

Beliau berkata, isu itu telah lama dibangkitkan oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengesyorkan perlunya suatu akta digubal bagi memantau dana politik dan mengelak pertindihan kepentingan adalah sangat berasas, namun ia tidak mendapat sambutan dalam kalangan parti pembangkang ketika itu.

“Isu sama muncul semula apabila rampasan wang tunai lebih RM100 juta ditemukan di beberapa lokasi dikaitkan dengan bekas Presiden UMNO itu, sekali gus menimbulkan persoalan dan mengundang pelbagai tuduhan yang berunsur fitnah.

“Ini menunjukkan bukan sahaja wujud kesan negatif seperti terdedahnya ruang salah guna dan manipulasi bagi memburukkan kepemimpinan parti, malah ketiadaan akta khas ini berpotensi mengancam keselamatan negara serta mengundang campur tangan pihak asing,” katanya ketika dihubungi di sini.

Keperluan penggubalan segera akta kawal selia dana politik hangat diperkatakan setelah pasukan polis yang melakukan penggeledahan di kediaman Najib dan beberapa lagi lokasi sekitar ibu negara telah merampas wang tunai berjumlah RM114 juta yang didakwa baki daripada hasil sumbangan untuk kempen dan dana politik UMNO.

Rampasan tersebut menimbulkan pelbagai persoalan kerana berdasarkan undang-undang negara, sumbangan dan pembiayaan parti politik dibenarkan dan Presiden UMNO adalah individu yang bertanggungjawab mengendalikannya.

Sementara itu, Pensyarah Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Mohd. Izani Mohd. Zain berkata, kesungguhan menggubal akta khas berkaitan dana dan pembiayaan politik pernah diusahakan kerajaan terdahulu melalui penubuhan Jawatankuasa Konsultatif Nasional Mengenai Pembiayaan Politik untuk merangka pelan pembiayaan politik yang berintegriti dan komprehensif.

Katanya, draf awal untuk legitimasi dana politik itu sudah pun ada, namun sejauh mana proses dan status pelaksanaannya setakat ini tidak dapat dipastikan.

“Saya bersetuju perlunya akta inklusif berkenaan dana politik supaya setiap pembiayaan dan sumbangan dipantau yang akan mendorong parti politik lebih berintegriti, mempercepat pendemokrasian politik dalam negara serta memupuk nilai ketelusan dalam diri setiap pemimpin parti,” katanya.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN