KUALA LUMPUR 26 Mei – Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan kenyataan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng kononnya kerajaan terdahulu terpaksa menyelamatkan 1Malaysia Development Bhd. (1MDB) adalah tidak betul dan bermotifkan politik untuk menutup fakta.
Bekas Perdana Menteri juga berkata, kenyataan kononnya Kementerian Kewangan, Khazanah Nasional (Khazanah) dan Bank Negara Malaysia (BNM) menyelamatkan (bail out) 1MDB membabitkan peruntukan sebanyak RM7 bilion sebagai mengelirukan.
Katanya, selaras dengan syor Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), semua aset hartanah bernilai dan strategik 1MDB dipindahkan kepada syarikat-syarikat lain yang dimiliki oleh Kementerian Kewangan Diperbadankan (MOF Inc.).
“Mengikut unjuran semasa, nilai hartanah tersebut boleh mencecah sehingga melebihi RM30 bilion.
“Bagaimanapun, meskipun MOF Inc. mengambil alih semua aset, hutang dan liabiliti 1MDB kekal dengan syarikat itu. Oleh itu, berdasarkan pengaturan tersebut, saya dapat sahkan adalah untuk MOF Inc. membayar hutang 1MDB sebagai balasan mengambil alih aset-aset tersebut,” katanya menerusi kenyataan yang dimuat naik di akaun Facebook beliau semalam. – UTUSAN ONLINE











