SEJARAH DAP dalam arena politik tempatan bermula selepas ia didaftarkan pada 18 Mac 1966. Sebagai sebuah parti yang berkonsepkan demokratik sosial, perkembangan DAP banyak dipelopori oleh Penasihatnya, Lim Kit Siang.
Tahun 1969 menjadi detik penting kepada DAP apabila berpeluang bertanding dalam pilihan raya umum di negara ini. Menariknya, percubaan pertama itu membolehkan DAP memenangi 13 kerusi Parlimen dan 31 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Bagaimanapun, selepas pilihan raya umum tersebut, prestasi DAP dilihat sentiasa terumbang-ambing dan tidak begitu memberangsangkan.
Apatah lagi, dominasi Barisan Nasional (BN) yang ditunjangi ketiga komponen utama iaitu UMNO, MCA dan MIC begitu kuat dalam masyarakat sehingga menyebabkan parti pembangkang seperti DAP hanya pandang sebelah mata.
Trend itu bagaimanapun mula berubah pada Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU-12). Daripada sembilan kerusi Parlimen yang dimenangi parti itu pada 1995, ia mula bertambah kepada 28 kerusi pada 2018.
Tahun itu juga buat pertama kalinya DAP berjaya mengambil alih Pulau Pinang daripada parti Gerakan. Ketika itu, Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng yang merupakan anak Kit Siang dilantik menerajui negeri itu sebagai Ketua Menteri.
Penguasaan DAP juga dilihat semakin ketara di beberapa negeri yang dimenangi pembangkang seperti di Selangor, Kedah dan Perak.
Prestasi BN yang terus merundum pada PRU-13 menyaksikan DAP berjaya meraih sebanyak 38 kerusi sekali gus menjadi parti terkuat dalam pakatan pembangkang ketika itu. Malah, ia juga berjaya mengekalkan penguasaan di Pulau Pinang untuk kali kedua berturut-turut.
Tsunami rakyat pada PRU-14 menyebabkan Pakatan Harapan (PH) yang turut disertai DAP berjaya membentuk kerajaan Persekutuan.
Hasilnya, empat pemimpin utamanya iaitu Guan Eng, Gobind Singh Deo, Anthony Loke Siew Fook dan M. Kulasegaran telah dilantik menganggotai barisan Kabinet oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad baru-baru ini.
Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr. Muhamad Nadzri Mohamed Noor berkata, pelantikan tersebut bukan sesuatu yang mengejutkan kerana keempat-empat mereka mempunyai pengalaman luas dalam DAP dan politik tempatan.
Berpengalaman
Katanya, pemilihan Guan Eng sebagai Menteri Kewangan, misalnya, dilihat bersesuaian dengan latar belakang pendidikan beliau dalam bidang perakaunan selain mempunyai pengalaman sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang selama dua penggal.
“Ketika beliau (Guan Eng) mula mengambil alih jawatan tersebut, beliau berdepan cabaran jumlah hutang di Pulau Pinang yang dianggarkan mencecah ratusan jutaan. Namun, menerusi dasar-dasar yang diperkenalkan beliau berjaya mengurangkan jumlah hutang tersebut berbanding sebelum ini.
“Malah, kemampuan beliau mentadbir negeri itu juga menjadi pujian kerana memperkenalkan pentadbiran yang berintegriti dan perbelanjaan berhemah sehingga menjadikan ia terus maju sehingga ke hari ini,” katanya ketika dihubungi Jurnal! baru-baru ini.
Tambah Muhamad Nadzri, pengalaman Guan Eng dilihat mampu membawa perubahan kepada ekonomi negara yang kini berdepan ketidaktentuan di samping paras hutang yang begitu tinggi.
“Saya yakin dengan bantuan daripada tokoh-tokoh dalam Majlis Penasihat seperti Tun Daim Zainuddin, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz dan sebagainya, beliau mampu memikul cabaran tersebut sekali gus membawa negara ke arah yang lebih baik pada masa hadapan,” ujarnya.
Pandangan tersendiri
Pada masa sama, katanya, tokoh-tokoh lain seperti Gobind, Kulasegaran dan Anthony Loke juga memiliki latar belakang pendidikan yang tidak kurang hebatnya.
“Pemilihan Gobind, misalnya, dilihat bersesuaian dengan profesion beliau sebagai pengamal undang-undang dan pengalaman tersebut boleh digunakan untuk memacu kementerian yang diterajui beliau ketika ini.
“Sebagai individu yang sering mengutamakan hak-hak asasi manusia, Gobind mampu memberi reformasi kepada kebebasan media di negara ini dan mempertahankan hak-hak rakyat untuk bersuara,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Pusat Pengajian Teras, Universiti Sains Islam Malaysia, Dr. Mohd. Azmir Mohd. Nizah berkata, Perdana
Menteri pasti mempunyai pandangan tersendiri apabila melantik keempat-empat tokoh berkenaan dalam barisan Kabinet kali ini.
Katanya, berdasarkan penilaiannya, kesemua mereka memiliki kemampuan untuk menggalas tugas yang diamanahkan kerana mempunyai kredibiliti dan profesionalisme yang tinggi.
“Atas kertas, memang Guan Eng yang dilihat mempunyai pengalaman dalam mentadbir Pulau Pinang sebelum ini namun jangan dilupa ketiga-tiga pemimpin yang lain juga bukan calang-calang.
“Misalnya, Gobind dan Kulasegaran merupakan pengamal undang-undang dan pastinya pengalaman mereka diperlukan terutama dalam konteks akta atau undang-undang tertentu di kementerian masing-masing.
“Anthony Loke juga merupakan antara pemimpin yang lantang bersuara dalam DUN di Negeri Sembilan ketika menjadi pembangkang sebelum ini dan pengalaman beliau juga berguna di kementerian yang diterajuinya,” kata Mohd. Azmir.
Menurutnya, ketika ini, rakyat perlu memberi peluang kepada pemimpin PH terutamanya daripada DAP agar dapat menjalankan tugas yang diberikan sebelum membuat sebarang kritikan.
“Proses ini memerlukan masa dan bukan boleh berlaku dalam sebulan atau dua bulan sahaja. Jika sebelum ini ketika berada di pihak pembangkang mereka lantang mengkritik, kini tiba masa mereka melaksanakan perubahan yang diinginkan.
“Ini kerana rakyat di luar sana menilai prestasi mereka dan kemungkinan ia diterjemahkan pula menerusi undi pada pilihan raya umum akan datang,” katanya.











