KOTA KINABALU – Bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman dilaporkan ‘hilang’ selepas kali terakhir mempengerusikan mesyuarat Kabinet kerajaan negeri itu di Pejabat Pentadbiran Negeri Sabah di Likas pada 12 Mei lalu.
Misteri ‘kehilangan’ Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah menjadi tanda tanya pasukan polis Sabah yang gagal mengesan beliau bagi membantu siasatan berhubung kes ugutan jenayah.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Ramli Din mengesahkan, setakat ini sembilan saksi termasuk Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin telah diambil keterangan bagi menyelesaikan kes mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.
Menurut beliau, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Sibuga itu dikatakan gagal dikesan di sekitar bandar raya Kota Kinabalu dan setakat ini polis tidak mengetahui sama ada ahli politik berkenaan sudah meninggalkan Sabah. Namun begitu, Jabatan Imigresen Malaysia memberitahu, setakat ini tiada rekod Musa ke luar negara.
Rabu lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melakukan serbuan di kediaman Musa di Jalan Bukit Temasu, Luyang.
Difahamkan dalam serbuan tersebut, beberapa fail milik Musa dirampas bagi membantu siasatan berhubung laporan polis dibuat oleh Juhar. Serbuan tersebut disahkan oleh Timbalan Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki.











