PUTRAJAYA 25 Mei – Tun Dr. Mahathir Mohamad melahirkan perasaan gembira dan syukur kerana proses peralihan kuasa yang berlaku selepas berakhirnya Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dibuat dengan lancar dan tidak dicemari sebarang unsur keganasan.
Perdana Menteri berkata, sekiranya di negara lain sudah pasti tercetus kekecohan apabila berlaku pertukaran kerajaan, namun perkara tersebut tidak terjadi di Malaysia kerana PRU-14 berjalan dengan baik dan peralihan kuasa berlangsung tanpa keganasan.
“Ini tidak terdapat di semua negara di dunia yang biasanya jika dalam pilihan raya, pemerintah sedia ada gagal kepada parti lawan pastinya berlaku keganasan dan banyak yang terbunuh,” katanya ketika berucap dalam majlis Iftar Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) di sini hari ini.
Yang turut hadir, isteri Perdana Menteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali dan Setiausaha Agung Perkim, Tan Sri Dr. Mohd. Yusof Noor.
Dalam pada itu, Dr. Mahathir turut melahirkan perasaan sedih dengan keadaan di beberapa negara Islam yang berlaku huru-hara dan peperangan sehingga menyebabkan rakyatnya lari bagi mendapatkan perlindungan dari negara bukan Islam.
Beliau memberitahu, situasi itu dapat diatasi dengan syarat umat Islam kembali semula kepada ajaran al-Quran dan hadis sahih.
Sementara itu, Perdana Menteri menyeru umat Islam di negara ini bersatu-padu dan mengelakkan perpecahan serta permusuhan sesama mereka.
Dr. Mahathir berkata, beliau sedih atas perpecahan yang berlaku khususnya terhadap orang Melayu ekoran perbezaan fahaman politik.
“Kita bukan sahaja Islam, tetapi pegangan kita sama iaitu bermazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah pimpinan Imam Shafie, sebab itu kita tidak berpecah kerana fahaman yang sama.
“Malangnya, Islam dipolitikkan dan perpecahan berlaku. Saya berdoa politik tidak memecahkan orang Melayu yang semuanya Islam dan bersaudara sebagai umat Islam,” katanya.











