Jamal hilang dari hospital - Utusan Malaysia

Jamal hilang dari hospital

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 25 Mei – Polis sedang mencari Pen­ge­rusi Gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Ge­rakan Merah Malaysia (GN­G­MM), Datuk Seri Jamal Md. Yunos kerana mening­galkan kawasan Hospital Pakar Ampang Puteri, Ampang dekat sini malam ini sebelum menyelesaikan proses dokumentasi jaminan mahkamah.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat ber­kata, Jamal telah didakwa di hospital atas tiga pertuduhan hari ini dan mahkamah menawarkan jaminan sebanyak RM3,000 bagi setiap kes.

“Bagaimanapun ketika pro­ses dokumentasi jaminan mah­kamah sedang berjalan petang tadi, beliau telah meninggalkan kawasan hospital. Kita sedang mencari beliau untuk menyelesaikan proses dokumentasi tersebut,” katanya dalam satu kenya­taan di sini malam ini.

Terdahulu Jamal mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melakukan mudarat awam de­ngan memecahkan sejumlah botol arak menggunakan penukul besi tahun lalu .

Jamal, 48, membuat penga­kuan tersebut hari ini dalam satu prosiding selama 30 minit yang dijalankan di hadapan Majistret Mahkamah Shah Alam, Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin di wad Premier, Tingkat 4, Hospital Pakar Ampang Puteri.

Pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah kira-kira pukul 10.45 pagi di hospital itu berikutan Jamal mendapatkan rawatan kerana mengalami sakit belakang.

Dia didakwa telah melakukan mudarat awam itu sehingga mendatangkan bencana, bahaya dan kegusaran awam di depan pintu pagar keluar pos (1) Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (SUK), Shah Alam dekat sini pada pukul 10.15 pagi, 5 Oktober tahun lalu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Megat Mahathir Megat Tharif Afendi mengikut Seksyen 290 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM400.

Megat Mahathir mencadangkan jaminan RM4,000 manakala peguam, Mohd. Nasir Yusof yang mewakili tertuduh memohon anak guamnya di­ikat jamin sebanyak RM2,000.

Raja Noor Adilla membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan sebutan semula kes pada 8 Jun ini di Mahkamah Majistret Shah Alam.

Sepanjang prosiding, pihak media tidak dibenarkan ma­suk, malah pintu depan wad turut dikawal oleh pengawal ke­selamatan.

Akhbar sebelum ini melaporkan, sekumpulan 25 lelaki diketuai Jamal mengadakan sidang akhbar membantah penganjuran ‘The Better Beer Festival 2017’ sebagai simbolik bantahan penganjuran pesta berkenaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN