MONACO – Pelumba pasukan Mercedes, Lewis Hamilton berpuas hati dengan prestasi jenteranya pada sesi latihan bebas menjelang Grand Prix (GP) Monaco di Litar Monte Carlo kelmarin.
Pada masa sama, juara dunia tersebut mengakui jenteranya musim ini lebih baik berbanding tahun lalu biarpun Mercedes sering berdepan kesukaran di litar terbabit.
Justeru, Hamilton sedia untuk memperbaiki prestasi musim lalu menjelang sesi kelayakan malam ini selepas jentera W09 menampilkan prestasi memuaskan.
“Saya fikir prestasi saya baik-baik sahaja pada sesi latihan. Selain itu, tidak ada sebarang kerosakan berlaku terhadap jentera, jadi ia sesuatu yang sangat baik.
“Harus diakui Red Bull adalah pasukan yang lebih baik pada sesi latihan tersebut dan ia memang sudah dijangka dan kami pula ada berdepan sedikit kesukaran,” kata Hamilton.
Pelumba kelahiran Britain itu juga mengakui jentera yang dipandunya itu berdepan beberapa masalah di sesetengah kawasan trek, sekali gus menggesa kru pasukan memperbaiki kelemahan tersebut.
“Saya dapat rasakan jentera menampilkan aksi yang baik di sesetengah tempat, namun masih ada kekurangan. Justeru, kami perlu bekerja keras mengatasi kelemahan itu kerana tidak jauh ketinggalan dengan Red Bull dan Ferrari,” ujarnya. – Agensi











