Selesaikan aduan rakyat - Utusan Malaysia

Selesaikan aduan rakyat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad telah pun mengumumkan senarai 15 anggota Kabinet pada hari Jumaat lepas (18 Mei).

Memuatkan artikel berkaitan…

Walaupun ia hanya sebahagian daripada senarai penuh Kabinet yang dijangka mempunyai 25 anggota, apa yang diumumkan itu merupakan kementerian utama yang diperlukan untuk melaksanakan dasar-dasar kerajaan baharu demi memenuhi keperluan dan harapan rakyat.

Sudah pasti para menteri tersebut dilantik oleh Perdana Menteri berdasarkan kedudukan mereka di dalam parti selain kelayakan, merit dan kemampuan untuk melaksanakan tugas sebagai seorang menteri.

Peranan menteri adalah untuk memberikan hala tuju berkaitan dasar kerajaan yang baharu selain memberikan arahan serta menyumbang idea dan cadangan kepada kementerian masing-masing untuk mentadbir negara dan membawanya ke hadapan. Namun, yang paling penting adalah untuk kerajaan baharu menunaikan janji-janji yang diberikan di dalam manifesto pilihan raya mereka.

Semua kakitangan awam perlu berkhidmat kepada rakyat dan kerajaan semasa dengan penuh komitmen, amanah dan integriti bagi memastikan kejayaan objektif kementerian. 

Pada akhirnya, ia merupakan tanggungjawab penjawat awam untuk melaksanakan apa yang diarahkan oleh para menteri demi memenuhi kehendak rakyat dan mencapai tujuan yang diinginkan.

Majlis Penasihat Kerajaan baru-baru ini mengumumkan pembentukan Jawatankuasa Pembaharuan Institusi untuk mengkaji semua institusi yang sudah wujud di negara kita dan menjadikan mereka benar benar bebas dan professional. 

Saya bersetuju dengan kenyataan majlis tersebut bahawa tanpa pembaharuan institusi, reformasi ekonomi secara sendiri tidak akan membawa perubahan bermakna.

Kerajaan baharu juga telah memutuskan untuk memberi penekanan terhadap peningkatan penyampaian perkhidmatan dan memerangi ketirisan dan rasuah demi kepentingan rakyat.

Sudah tiba masanya untuk Biro Pengaduan Awam dinaik taraf kepada sistem ombudsman untuk menyelesaikan aduan orang awam terhadap mana-mana pihak berkuasa.

Seperti di Sweden atau New Zealand, ombudsman adalah pegawai kerajaan yang dilantik untuk menerima dan menyiasat aduan yang dibuat oleh individu terhadap perbuatan menyalahi undang-undang atau salah laku penjawat awam.

Ombudsman berasal dari perkataan Sweden yang berkaitan dengan mereka yang membuat aduan atau wakil atau ejen rakyat.

Ia juga disebut dalam kamus Oxford sebagai mereka yang mempertahankan rakyat dan dilantik untuk melindungi orang ramai daripada penyalahgunaan kuasa pentadbiran oleh golongan eksekutif.

Mereka sebenarnya rakan dan pelindung rakyat yang diamanahkan untuk menyiasat dakwaan salah laku yang dibuat oleh orang awam terhadap pihak berkuasa

Pada awal 70-an, Malaysia bercadang untuk mempertimbangkan pelaksanaan sistem sedemikian dengan mengkaji model ombudsman di New Zealand. Bagaimanapun, ia ditangguhkan dan bagi menggantikannya, Biro Pengaduan Awam telah ditubuhkan.

Malaysia kini lebih terbuka kepada konsep tersebut dengan penubuhan ombudsman untuk Perkhidmatan Kewangan yang mula beroperasi pada 1 Oktober 2016.

Bank Negara Malaysia telah memberikan kelulusan untuk penubuhan badan baharu itu di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 dan Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013.

Sebagai mekanisme timbangtara bebas bagi pelanggan kewangan, ia memberikan jalan penyelesaian yang adil dan cekap bagi menyelesaikan pertikaian melibatkan pelanggan dan penyedia perkhidmatan kewangan.

Sudah tiba masanya untuk kita menubuhkan sistem   ombudsman yang lebih berkesan untuk menangani isu rakyat yang teraniaya akibat penindasan dilakukan terhadap mereka.

Di bawah sistem ini, ombudsman boleh dilantik sama ada oleh pihak kerajaan atau Parlimen.

Ramai di antara kita yang teruja melihat bagaimana sistem ini dapat dilaksanakan demi proses pembaharuan institusi yang bakal menjadikan semua institusi kerajaan benar-benar bebas dan profesional untuk memenuhi objektif yang diinginkan.

Sebelum ini, banyak pihak mengadu mengenai kelemahan institusi kerajaan termasuk Suruhanjaya Pilihan Raya, polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia serta kementerian dan agensi lain.

Di bawah pentadbiran baharu, lebih banyak usaha perlu dilakukan untuk mengurangkan krenah birokrasi dan meningkatkan kecekapan pentadbiran di semua jabatan dan agensi kerajaan. Dalam hal ini, penubuhan sistem ombudsman merupakan langkah yang wajar untuk menangani semua aduan orang awam terhadap jabatan dan agensi kerajaan.

Seiring dengan pembangunan negara, rakyat Malaysia semakin sedar tentang hak-hak mereka dan mengharapkan prestasi yang lebih baik daripada penjawat awam.

Masanya telah tiba untuk semua jabatan, agensi dan pihak berkuasa bekerja lebih keras untuk mencapai sifar aduan melalui peningkatan kecekapan dan menggalakkan kecemerlangan.

 

TAN SRI LEE LAM THYE

Kuala Lumpur

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN