Sikap jadi penentu untung nasib UMNO - Utusan Malaysia

Sikap jadi penentu untung nasib UMNO

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEMEMANGNYA kita boleh memahami masih ramai dalam kalangan pemim­pin, ahli dan penyokong UMNO belum ‘kebah’ aki­bat kekalahan paling teruk da­lam sejarah parti itu dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14). UMNO bukan sahaja gagal mengekalkan 89 kerusi yang dimenanginya pada PRU-13, malah paling memeritkan ‘empayar kehilangan kuasa’ Barisan Nasional (BN) bukan lagi setakat di Pulau Pinang, Kelantan dan Selangor tetapi sudah menjalar ke Kedah, Perak, Terengganu, Melaka, Ne­geri Sembilan, Sabah dan Johor.

Memuatkan artikel berkaitan…

BN kini hanya menjadi kerajaan di Perlis, Pahang dan Sarawak. Di peringkat pusat, BN yang memerintah sejak merdeka kini sudah tidak berkuasa lagi. BN hanya ada 79 kerusi di Dewan Rakyat dan 54 daripadanya milik UMNO.

Berdasarkan keputusan PRU-14 ramai meramalkan dan tidak menaruh harapan bahawa BN khususnya UMNO mampu bangkit semula kerana kekalahan yang diterima cukup memeritkan. Tetapi UMNO tidak boleh terpe­ngaruh dengan ramalan seumpama itu kerana segalanya terletak kepada sejauh manakah kesungguhan parti tersebut untuk me­lakukan perubahan bagi membolehkan ia kembali berkuasa.

Hakikatnya, sementara tsunami anak muda yang bergabung dengan arus penolakan oleh kaum Cina dan India dikatakan menjadi punca BN tewas dalam PRU-14 tetapi kelemahan dalaman juga perlu diperbaiki segera.

Berikut penulis senaraikan antara perubahan yang harus dilakukan oleh UMNO jika parti itu berhasrat untuk kembali gah di persada politik tanah air.

* Buka ruang kepada kepe­mimpinan muda

Penulis sama sekali tidak menafikan sumbangan golongan tua atau veteran dalam UMNO. Tetapi masanya sudah tiba untuk parti mengetengahkan lebih ba­nyak pemimpin muda bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.

UMNO harus berani me­lakukan perubahan dalam soal ini. Jika parti-parti lain sudah lama berbuat demikian kenapakah dalam kalangan sesetengah pemimpin UMNO khususnya di peringkat bahagian sukar sangat untuk memberi laluan kepada pemimpin muda?

* Hapuskan kuasa warlord

Ini adalah masalah yang sudah boleh dikatakan menjadi ‘barah’ kepada UMNO. Sesetengah ketua bahagian walaupun sudah ditolak oleh rakyat masih lagi mahu bertanding di dalam pilihan raya. Kehadiran pemimpin muda tidak dianggap sebagai satu rahmat kepada parti sebaliknya petaka kepada politik peribadi.

Oleh itu, jika ada pemimpin yang dilihat mampu memberi saingan kepada warlord maka mulalah gerakan menamatkan ka­rier politik pemimpin ber­ke­naan dilakukan, biarpun pe­mimpin tersebut disukai rakyat.

Sama ada hendak diakui atau tidak, jika kajian mendalam dilakukan, salah satu punca BN khususnya UMNO kalah di sesetengah kawasan kerana terdapat ketua bahagian yang masih mahu menongkat langit.

* ‘Cah keting’- cantas mencantas

Inilah perangai buruk yang su­dah sebati dengan sesetengah pemimpin UMNO di peringkat negeri. Mereka berjuang bukan lagi untuk kepentingan parti tetapi menjaga kepentingan peribadi. Tidak payahlah nasihat atau buat seruan apa pun, di depan pucuk pimpinan mereka berikrar bersatu padu tetapi di belakang, mereka bertikam sesama sendiri.

Sebagai contoh, di sebuah ne­geri di selatan baru-baru ini, ketika kempen PRU-14, dua calon UMNO yang masing-masing ber­tanding kerusi DUN dan Parlimen berkempen bersama.

Di depan rakyat, mereka meminta undi diberikan kepada BN tetapi apabila berkempen secara bersendirian khususnya dalam kalangan ahli UMNO, mereka ‘menghasut’ jangan undi antara satu sama lain. Kesudahannya kedua-dua calon kalah dan yang rugi adalah parti.

* Utamakan pilihan raya bukan pemilihan parti

Ini juga satu lagi penyakit lama yang sudah sebati dengan kala­ngan pemimpin UMNO. Walaupun telah diperingatkan berulang kali dan sudah berpuluh-puluh tahun bahawa apa gunanya memegang jawatan dalam parti jika kesudahannya parti kalah dalam pilihan raya namun ini tidak dipedulikan.

Kini apa yang dibimbangi sudah menjadi kenyataan. UMNO sudah tidak berkuasa lagi di pe­ringkat pusat dan kehilangan banyak negeri. Menyesal pun sudah tidak berguna.

Oleh itu, melalui ‘tsunami’ yang meranapkan kuasa pemerin­tahan UMNO, perangai buruk ini harus dipastikan tidak berulang lagi. Jika itu masih berlaku sah­lah, UMNO tidak akan mampu bangkit semula.

Hakikatnya, UMNO bukanlah sebuah parti yang ditolak rakyat khususnya orang Melayu. Sebaliknya UMNO tidak mendapat sokongan kuat daripada parti-parti komponen khususnya di Semenanjung untuk mengekalkan kuasanya. Justeru adalah di­harapkan apa yang berlaku dalam PRU-14 benar-benar dijadikan pengajaran dan iktibar serta pe­ngalaman cukup berguna kepada UMNO untuk kembali berkuasa.

Percayalah orang Melayu ma­sih memerlukan UMNO untuk memperjuangkan untung nasib mereka. Penulis bukanlah mahu bernostalgia dengan sejarah perjuangan silam tetapi inilah hakikatnya. Oleh itu, UMNO perlu berubah secara menyeluruh dan tidak boleh terlalu meratapi kekalahan yang dialami.

Sebagai umat Islam, kita pasti memahami apa juga yang berlaku sudah tentulah ada hikmahnya daripada Allah SWT. Anggaplah apa yang terjadi sebagai peringatan daripada Allah SWT supaya UMNO membuang segala pera­ngai buruk yang selama ini dikaitkan dengan parti itu.

Yakinlah masa masih ada untuk UMNO bangkit semula. Apa yang penting kesedaran untuk berani berubah dan bukan sekadar memaparkan retorik politik sehingga memungkinkan parti itu terus ditolak oleh rakyat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN