SAMA ada suka atau tidak, gelora politik di Perlis telah menjadikan bahan lawak dalam laman-laman sosial. Macam-macam komen diberikan sehingga ia turut mengheret nama UMNO dan Barisan Nasional (BN).
Awang tidak tahu apa kesudahan episod yang memualkan ni, tetapi apa yang pasti rakyat sudah bosan kerana terlalu banyak drama politik sejak Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Namun begitu Awang berharap, krisis itu dapat diselesaikan segera kerana agenda yang lebih penting adalah untuk melaksanakan program bagi membela nasib rakyat bukannya untuk memastikan mana-mana individu menjadi Menteri Besar.
Kalau susah-susah sangat serah kembali kepada rakyat untuk membuat pilihan sekali lagi dalam pilihan raya. Lagipun pemimpin-pemimpin BN di Perlis begitu bangga dengan kemenangan majoriti dua pertiga sebelum ini.
Tetapi soalnya, wajarkah tindakan itu dilakukan hanya semata-mata disebabkan kemahuan dan agenda politik individu tertentu tidak tercapai? Bagaimanapun, Awang menyerahkan kepada kebijaksanaan pucuk pimpinan BN menyelesaikan kemelut ini dengan meletakkan kepentingan rakyat mengatasi segala-galanya.
AWANG – Bosan tengok drama politik.











