TEMPOH waktu berpuasa kira-kira 13 jam sehari di Malaysia dan negara ASEAN lain seperti Singapura atau Indonesia adalah biasa dalam kalangan umat Islam di negara-negara tersebut bagi menahan lapar dan dahaga sepanjang Ramadan.
Namun bayangkan jika kita berada di negara yang terletak di Hemisfera Utara atau Selatan ketika bulan Ramadan kerana urusan kerja atau sedang menuntut di universiti di negara-negara dalam lingkungan sempadan tersebut, sudah tentu tempoh waktu berpuasa lebih panjang daripada biasa yang dipraktikkan di tanah air.
Malah ada yang mula berpuasa seawal pukul 1 pagi dan berbuka pada pukul 9.30 malam, setiap hari sehingga tiba 1 Syawal.
Seorang rakyat Malaysia yang menetap di Perancis, Jeviera Jaafar Quenot, 35, berkongsi cerita. Katanya, dia melalui saat mencabar apabila menjalani ibadah puasa pada musim panas dengan tempoh waktu berbuka mencecah 17 jam sehari pada tahun ini.
“Tahun ini, puasa jatuh pada musim panas. Jadi, kami berpuasa lebih lama daripada umat Islam di Malaysia. Jika dihitung, saya berpuasa selama 17 jam sehari.
“Tiga hari pertama terasa sukar kerana baru hendak membiasakan diri. Tetapi semakin hari, saya semakin biasa dengan keadaan cuaca yang kering dan panas ini,” katanya kepada S2.
Menurutnya, suaminya yang merupakan warganegara Perancis turut berasa cabaran berpuasa pada musim panas yang lebih panjang waktu siangnya, sekali gus menjadikan tempoh berpuasa lebih panjang.
“Namun dia juga semakin biasa dengan keadaan itu. Berpuasa di Perancis sememangnya mencabar kerana waktu yang lebih lama. Bila terasa lapar, kami bersabar dan berfikir bagaimana umat Islam yang mengalami kesusahan di negara lain hidup dalam kelaparan. Jadi, perasaan insaf itu hadir dalam diri kami,” katanya.
Sementara itu, masyarakat Islam di Kiruna, Sweden berbuka puasa pada pukul 3.30 pagi dalam keadaan matahari bersinar terang kerana tiada waktu malam di sana ketika Ramadan pada tahun ini.
Dalam satu temuramah dengan www.aljazeera.com, kira-kira 700 umat Islam di bandar itu terpaksa melalui hari siang sepanjang hari pada bulan Ramadan berbanding di Stockholm yang mempunyai waktu siang dan malam.
Seorang penduduk, Idris Abdulwhab berkata, walaupun begitu, dia mengikuti fatwa yang dikeluarkan Majlis Fatwa dan Penyelidikan Eropah (ECFR) yang menetapkan waktu berbuka puasa dan sahur adalah mengikut waktu Stockholm.
Ini bermakna, penduduk di Kiruna berpuasa selama 20 jam setiap hari.
Selain cabaran itu, umat Islam di bandar itu juga pernah melalui bulan Ramadan pada waktu malam yang panjang tanpa hari siang.
Dalam pada itu, seorang kakitangan Panasonic Appliances Airconditioning (M) Sdn. Bhd., Shah Alam, Marzuki Maidin, 49, berkata beliau kini berada di Hamburg, Jerman atas urusan kerja.
Menurutnya, berpuasa hampir 18 jam sehari memberikan pengalaman baru buat dirinya yang pertama kali berpuasa di rantau orang.
Berlepas ke sana pada 12 Mei lalu, katanya, waktu berbuka adalah pada pukul 9.30 malam.
“Solat tarawih pula bermula pukul 9.51 malam dan sebaik selesai, ada masa beberapa jam sahaja untuk makan dan bersahur,” katanya yang teruja meraih pengalaman tersebut.
Disebabkan jarak waktu berbuka dan sahur agak dekat, beliau yang mesra dipanggil Bob berkata: “Kenyang waktu berbuka belum hilang, dah masuk waktu sahur. Oleh kerana masih kenyang, saya tak makan, cuma minum kopi panas sahaja.”
Menurutnya, beliau tidak terasa lapar dan dahaga kerana cuaca yang nyaman dan sibuk bekerja.
Mengulas makanan halal, katanya, tidak sukar mendapatkan makanan halal kerana terdapat banyak kedai runcit milik orang Arab di sekitar Hamburg.
Malah, katanya, sayur dan lain-lain yang dijual hampir sama apa yang dijual di kedai runcit di Malaysia.
“Pihak majikan memberi elaun harian sebanyak RM277 (AS$70) sehari. Saya lebih suka membeli makanan siap dimakan seperti spageti,nasi mandy atau sosej dari kedai makanan halal untuk berbuka,” katanya yang akan pulang ke tanah air pada 9 Jun ini.











