REZEKI itu umpama buah yang terdapat pada pohon. Ada yang bergantungan dan ada juga berguguran. Siapa sahaja boleh mengambilnya, tidak kira beriman atau kafir dengan sebanyak mungkin,” kata pendakwah Indonesia, Khalid Basalamah
Khalid yang juga Ketua Umum Yayasan Ats-Tsabat Jakarta Timur berkata, mungkin terdapat segelintir umat Islam mempertikaikan mengapa Allah SWT mengurniakan rezeki lebih kepada orang kafir berbanding hamba-Nya sendiri.
Sedangkan, ternyata golongan kafir menentang ajaran Allah dan Rasul-Nya serta memusuhi umat Islam, manakala orang beriman setia melaksanakan segala perintah syariat dengan taat.
Menurut Khalid, inilah bukti rahmat Allah kepada semua makhluk di muka bumi terutama manusia tanpa mengira beriman atau mengkafirkan Allah.
“Justeru, tidak hairanlah mengapa orang kafir lebih kaya, mempunyai rumah mewah, kereta besar dan makan apa sahaja makanan yang mereka mahukan.
“Ini kerana mereka juga boleh memungut buah-buahan pada pohon itu sebanyak mana yang mereka mahukan,” katanya dalam ceramah umum yang disampaikan, baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Khalid mengkategorikan rezeki kepada dua iaitu rezeki yang berguguran dan bergantungan.
“Perumpamaan buah yang berguguran ini dinamakan rezeki mutlak. Rezeki yang telah tertulis kepada setiap orang sama ada dia berusaha atau tidak.
“Sebagai contoh, segelas air ini. Saya tidak pernah minta daripada sesiapa pun di sini untuk menyediakannya, tetapi sudah terhidang di hadapan saya, lalu saya minum maka ia menjadi rezeki saya.
“Contoh lain rezeki mutlak ialah, ibu bapa kita bersusah payah membanting tulang mencari harta, akhirnya setelah mereka meninggal dunia, harta itu dapat kepada kita. Walaupun kita berusaha atau tidak, rezeki itu tetap dapat kepada kita,” ujarnya.
Hal ini sebagaimana sabda Rasulullah SAW maksudnya: “Seandainya anak cucu Adam lari daripada rezekinya sebagaimana dia lari daripada kematian, maka dia pasti akan mendapatkannya sebagaimana kematian pasti akan mendatanginya.” – Riwayat Abu Nuaim
Khalid berkata, manakala buah yang bergantungan pula adalah rezeki ikhtiar iaitu setiap manusia perlu berusaha menggunakan ‘tangga’ atau alat untuk memperolehnya.
“Dalam konsep memperoleh rezeki ikhtiar ini, tangga yang saya maksudkan adalah ilmu. Ini sebagaimana ungkap Imam Syafie bahawa: “Sesiapa yang menginginkan dunia, maka hendaklah berilmu. Sesiapa yang menginginkan akhirat, maka hendaklah dengan ilmu. Dan sesiapa yang menginginkan kedua-duanya, maka hendaklah dengan ilmu.”
“Oleh itu, untuk mendapatkan tangga atau ilmu tadi, kita perlu mempelajari bidang tersebut. Sebagai contoh untuk menjadi pakar hartanah, dia perlu mempelajari selok-belok hartanah, begitu juga dengan ilmu-ilmu lain.
“Apabila dia mempunyai tangga maka dia mampu naik ke atas dan memetik buah dari pohon itu sebanyak yang dia mahukan,” jelasnya.
Beliau melontarkan persoalan mengapa restoran terkemuka dunia dapat berkembang dan mempunyai ribuan cawangan, sedangkan yang mengusahakannya bukan orang Islam.
“Allah mengurniakan rezeki sama rata kepada setiap manusia. Semua manusia dianugerahkan anggota fizikal yang sama dan waktu juga sama, 24 jam sehari. Oleh itu, potensi untuk merebut peluang rezeki itu juga adalah sama.
“Namun, beza rezeki orang beriman dan kafir adalah keberkatannya. Ini kerana orang beriman diperintahkan Allah untuk mengambil rezeki daripada saluran yang baik atau halal sahaja.
“Walaupun rezeki itu berguguran atau kategori mutlak itu datang kepada kita daripada sumber tidak halal, contohnya wang haram atau daripada hasil zina, kita berhak menolaknya.
“Allah hanya mahu orang beriman memetik dan mengutip buah yang berkualiti, bukan merosakkannya.
“Berbeza dengan orang kafir yang mengambil segala rezeki tanpa mengira halal atau haram, asalkan memberi keuntungan kepada mereka,” katanya.











