Pentadbiran baharu di bawah teraju Tun Dr. Mahathir Mohamad secara rasmi mula beroperasi sejak 22 Mei lalu selepas 13 menteri yang dilantik mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V di Istana Negara, Kuala Lumpur pada Isnin lepas.
Terdahulu pada hari yang sama, Mahathir yang sebelum ini telah bersara selama 15 tahun sejak 2003 muncul semula di pentas perhimpunan pagi dan berucap buat kali di hadapan pegawai-pegawai Jabatan Perdana Menteri di Dataran Perdana, Putrajaya.
Menteri-menteri Kabinet rata-ratanya mengalami pengalaman pertama menjejakkan kaki mereka di pejabat menteri di Putrajaya. Antara yang menjadi tumpuan ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail; Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu dan Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang kembali semula ke Kabinet.
Menteri-menteri Kabinet baharu tersebut diterima baik oleh kakitangan awam. Pada mesyuarat pertama Kabinet, Mahathir mengumumkan langkah awal termasuk pemotongan gaji menteri-menteri sebanyak 10 peratus selain pembubaran beberapa agensi kerajaan seperti Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat dan Majlis Profesor Negara.











