PAGOH 25 Mei – Kementerian Dalam Negeri (KDN) bercadang untuk memperkasa penglibatan masyarakat dalam aspek keselamatan bagi meningkatkan keselesaan dan keamanan negara.
Menterinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, penekanan akan diberi terhadap pembentukan jawatankuasa keselamatan di peringkat negeri dan daerah seperti yang tertubuh dalam Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) sebelum ini.
“Saya sarankan aspek keselamatan dapat dimasyarakatkan dalam erti kata lain kepemimpinan masyarakat diperkasa dengan aspek keselamatan yang memiliki jawatankuasa keselamatan di peringkat negeri dan daerah.
“Malah di kampung juga tertubuh dalam struktur lamanya seperti JKKK tetapi sejak dahulu ia hanya menekankan aspek kemajuan kampung namun aspek keselamatan tidak diberi penekanan sewajarnya,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Berbuka Puasa Peringkat Parlimen Pagoh di Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Pagoh, di sini sebentar tadi.
Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Osman Sapian dan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian negeri, Dr. Sahruddin Jamal.
Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh berkata, penekanan terhadap penglibatan masyarakat bawahan amat penting bagi mengelak perselisihan faham terutamanya antara kaum. – UTUSAN ONLINE











