Para pelajar perlu mempunyai wawasan hidup - Raja Muda Perlis - Utusan Malaysia

Para pelajar perlu mempunyai wawasan hidup – Raja Muda Perlis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUDAT 25 Mei – Keberangkatan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamaluilail bercemar duli pada Majlis Titian Kasih Mega 2018 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Abdul Rahim dan SMK Abdul Rahim 2 di sini hari ini, disambut meriah dan mesra oleh warga sekolah terbabit.

Memuatkan artikel berkaitan…

Baginda yang dalam lawatan ke Sabah sempena Op Pasir 2018 bersama delegasi kerajaan negeri Perlis tiba di SMK Abdul Rahim kira-kira pukul 9 pagi dan meluangkan masa di situ lebih sejam.

Dalam masa sama, baginda turut berkenan merasmikan Surau Tuanku Hajjah Lailatul Shahreen selain menanam pokok bunga kertas sebagai tanda kenangan di kawasan sekolah tersebut.

Ketika bertitah dalam majlis tersebut, Tuanku Syed Faizuddin telah menitipkan nasihat berguna kepada para pelajar supaya sentiasa mempunyai wawasan hidup yang jelas dengan tidak hanya bergantung kepada nasib semata-mata.

Titah baginda, wawasan hidup amat diperlukan supaya para pelajar sentiasa terarah, fokus dan bersedia, seterusnya mencapai cita-cita dan impian dalam kehidupan masing-masing.

“Wawasan hidup mampu mengajar pelajar erti berdisiplin dan bertanggungjawab dalam hidup selain mereka lebih faham akan hala tuju kehidupan dengan tidak mudah berputus asa atau kecewa,” titah baginda.

Selain itu, baginda juga mengingatkan para pelajar supaya menjadikan agama sebagai panduan hidup kerana ia adalah landasan paling ampuh dalam membentuk diri.

“Sesungguhnya agama itu mengajak manusia kepada kebaikan dan menjaga umat supaya tidak mudah terpesong daripada matlamat sebenar hidup di dunia dan akhirat,” titah baginda.

Pada majlis tersebut, Tuanku Syed Faizuddin Putra turut menyampaikan sumbangan kepada pelajar cemerlang sekolah itu menerusi Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP).

Dalam pada itu, program sama turut diadakan di SMK Abdul Rahim 2 yang turut diserikan dengan kehadiran Tuanku Syed Faizuddin selepas itu. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN