Projek Langat 2 dibawa ke Kabinet PH untuk beroperasi segera - Utusan Malaysia

Projek Langat 2 dibawa ke Kabinet PH untuk beroperasi segera

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM – Projek Loji Rawatan Air Langat 2 (Langat 2) akan dibawa di peringkat kabinet kerajaan Pakatan Harapan (PH) dalam masa terdekat agar dapat beroperasi sepenuhnya dengan segera.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, beliau telah diberikan taklimat kelmarin mengenai isu dan halangan terhadap pelaksanaan projek tersebut yang telah siap sebelum ini.

“Hasil taklimat tersebut membawa keputusan terhadap penyediaan kertas jemaah Kabinet.

“Para pegawai yang terlibat akan meneliti perkara ini kerana saya mahu perkara tersebut (Projek Langat 2) diangkat semula untuk pertimbangan jemaah menteri Kabinet dalam menilai semula keputusan kerajaan pusat sebelum ini,” katanya di sini semalam.

Menurut beliau, projek Langat 2 itu telah siap namun terdapat beberapa isu menjadi halangan kepada loji air untuk beroperasi kerana tindakan kerajaan Persekutuan sebelum ini.

Jelas Mohamed Azmin, ini termasuk halangan dalam mengepam air dari Pahang bagi tujuan penyaluran bekalan air kepada penduduk Lembah Klang.

“Saya yakin dengan kerajaan baharu ini loji Langat 2 dapat beroperasi segera,” katanya.

Projek Langat 2 merupakan satu langkah jangka panjang untuk menjamin bekalan air yang berterusan di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Melalui projek penyaluran air mentah dari Pahang ke Selangor itu mampu merawat 1.89 bilion liter air sehari bagi kegunaan 7.6 juta penduduk Lembah Klang.

Ini melibatkan pembinaan terowong sepanjang 44.6 kilometer dari Karak, Pahang ke Hulu Langat, Selangor.

Projek yang dimulakan pada 2010 dan sepatutnya siap empat tahun kemudian bagaimanapun tertangguh akibat keengganan kerajaan negeri mengeluarkan perintah pem­­­bangunan sebelum di­­teruskan semula pada April 2014. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN