KUALA KANGSAR 25 Mei – Seorang guru lelaki sebuah sekolah menengah di Lenggong dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 19 pertuduhan melakukan seks luar tabii dan seks oral terhadap tiga pelajar lelaki berusia 14 dan 17 tahun antara September hingga Mac lalu.
Tertuduh, Wan Khairul Aznim Wan Zahari, 41, yang mengajar mata pelajaran Sains bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Rohaida Ishak.
Mengikut pertuduhan, lelaki terbabit yang merupakan seorang duda tanpa anak itu didakwa melakukan kesemua perbuatan tersebut di sebuah sekolah dan premis di sekitar Lenggong dan Gerik antara pukul 2 pagi hingga 11 malam pada September 2017 hingga Mac lalu.
Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 14(a) Akta Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan serta Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Hasyutantee Khalil manakala tertuduh diwakili peguam, Sharun Shabaath Ali.
Rohaida membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM38,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan dan menetapkan 26 Jun ini untuk tarikh sebutan semula kes.
Pada 26 April lalu, tertuduh turut dihadapkan di mahkamah sama atas 17 pertuduhan melakukan kesalahan serupa terhadap pelajar lelaki berusia 15 tahun pada November 2016 hingga November 2017.
Tertuduh yang mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan dikenakan jaminan berjumlah RM48,000 dengan seorang penjamin.-UTUSAN ONLINE











