PORT DICKSON – Polis telah menahan lelaki dipercayai suspek yang terlibat dalam pembunuhan ke atas seorang pelajar perempuan Kolej Vokasional Port Dickson, Nur Alya Damia Hairi, 19, malam tadi.
Timbalan Ketua Polis Daerah Port Dickson, Deputi Superintendan Mohd. Faisal Mohd. Noor berkata, susulan penemuan mayat mangsa di Lorong 4, Taman PD Permata itu telah membawa kepada penahanan lelaki berusia 19 tahun yang merupakan pelajar di sekolah yang sama serta dipercayai teman lelaki mangsa.
“Siasatan awal menunjukkan mangsa dibunuh di dalam kereta dipercayai milik pelajar lelaki berkenaan sebelum mayatnya dicampak keluar,” ujarnya.
Sementara itu, rakan sekelas mangsa, Syarifah Noor Shahira Sheikh Mohd. Zain, 19, berkata mangsa tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap sebelum kejadian.
Allahyarham turut disifatkan sebagai seorang yang yang periang dan mudah terhibur selain turut merupakan seorang pelajar pintar di sekolahnya.
“Dia seorang yang sangat periang dan mudah mesra. Kami tidak pernah mendengar yang dia mempunyai masalah,” katanya ketika ditemui. – K! ONLINE











