KANGAR – Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man memulakan tugas di Pejabat Menteri Besar, Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini kira-kira pukul 10.10 pagi hari ini.
“Tiada lagi drama dan cukuplah. Saya ingin mula bekerja dan menyelesaikan pelbagai kerja-kerja pentadbiran.
“Minta maaf, saya tidak ingin memberikan sebarang komen kerana ingin fokus melakukan kerja,” katanya kepada pemberita di sini.
Kosmo! hari ini melaporkan, Perlis berdepan dengan krisis perlembagaan apabila Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man yang baru mengangkat sumpah jawatan di hadapan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail di Istana Arau semalam dipecat daripada UMNO dan Barisan Nasional (BN) berkuat kuasa serta-merta.
Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri dan Pengerusi BN Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim menegaskan, Azlan dipecat kerana mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar tanpa mendapat sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN sekali gus mengingkari arahan parti.
Azlan, 60, mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar secara berseorangan tanpa kehadiran sembilan ADUN daripada BN. Bagaimanapun, dua ADUN Pas dan tiga ADUN Parti Keadilan Rakyat (PKR) menghadiri majlis tersebut. – K! ONLINE











