“Tiada lagi drama, teruskan bekerja” - Azlan Man - Utusan Malaysia

“Tiada lagi drama, teruskan bekerja” – Azlan Man

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR 25 Mei – “Tiada lagi drama, kurangkan bercakap dan kini masa untuk bekerja”.

Memuatkan artikel berkaitan…

Begitu kenyataan ringkas Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man ketika ditemui kumpulan media di pejabatnya di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, pukul 10.10 pagi ini.

Azlan yang baru dilantik memegang jawatan itu selepas diperkenankan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dalam Istiadat Angkat Sumpah Jawatan dan Menandatangani Watikah di Istana Arau dekat sini semalam, hadir bagi memulakan tugasnya yang pertama hari ini.

Beliau juga enggan mengulas sebarang soalan berhubung perkembangan terkini tentang isu pelantikan Menteri Besar, daripada hampir 20 orang wartawan yang telah sedia menunggu di hadapan pejabatnya sejak pukul 9 pagi.

Walau bagaimanapun Azlan membenarkan media untuk memasuki ruang pejabatnya selama beberapa minit untuk berbual-bual dan bergambar sebelum memulakan tugas-tugas pentadbiran.

Isu pelantikan Menteri Besar mendapat perhatian meluas media-media massa kerana sebaik sahaja Azlan diperkenankan Tuanku Syed Sirajuddin untuk memegang jawatan nombor satu negeri itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bintong tersebut dipecat keahliannya.

Pemecatan itu diumumkan oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Shahidan Kassim yang mengadakan sidang akhbar di ibu negara bersama wakil-wakil rakyat daripada Barisan Nasional (BN).

Berikutan itu, istiadat pelantikan Menteri Besar pada masa sama berlangsung dalam keadaan kurang sempurna kerana tidak dihadiri oleh seorang pun wakil rakyat daripada BN, yang dipercayai memboikot pelantikan Azlan.

Sebelum ini, isu pelantikan Menteri Besar telah berlarutan sehingga dua minggu sejak 9 Mei lalu apabila Tuanku Syed Sirajuddin tidak berkenan dengan calon untuk mengisi jawatan itu, Datuk Ismail Kassim yang dinamakan oleh Shahidan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN