KOTA KINABALU – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dipercayai melakukan pemeriksaan di kediaman bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman di Luyang di sini pada Rabu lalu.
Menurut sumber, serbuan dilakukan tanpa kehadiran Musa dan keluarga terdekat Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah itu.
Difahamkan beberapa fail turut dirampas bagi membantu siasatan namun, sumber enggan mendedahkan lebih lanjut.
Terdahulu, SPRM melakukan serbuan di kediaman Datuk Dr. Jeffrey Kitingan dengan merampas sejumlah wang tunai sebanyak RM80,000.
Serbuan dilakukan berikutan laporan mengenai Presiden Solidariti Tanah Airku (Star) yang didakwa menerima rasuah sebanyak RM20 juta untuk bersetuju membentuk kerajaan negeri gabungan BN-Star pada 10 Mei lalu.
Bagaimanapun, kerajaan dibentuk Musa itu hanya bertahan selama dua hari setelah hilang majoriti kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal pula mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri yang sah pada 12 Mei lalu di hadapan Yang Dipertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin. – K! ONLINE










