KUALA LUMPUR – Kemelut pelantikan Menteri Besar Perlis yang baharu terus menjadi perhatian masyarakat negara ini apabila sembilan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) tidak bersetuju dengan pelantikan Datuk Seri Azlan Man memegang jawatan itu.
Pelantikan Azlan yang berusia 60 tahun itu diperkenankan oleh Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail pada Majlis
Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Menteri Besar diadakan pada pukul 11 pagi di Istana Arau, Perlis semalam.
Bagaimanapun, Pengerusi BN Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim memberitahu satu sidang akhbar di Kuala Lumpur, Azlan telah dipecat sebagai ahli parti berkuat kuasa serta-merta.
Beliau menambah, perkara itu telah dimaklumkan kepada Pemangku Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Pemangku Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein semalam.
Pada sidang akhbar di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini semalam, Shahidan memberitahu, mesyuarat BN Negeri Perlis telah memecat Azlan menyebabkan beliau kini merupakan ADUN Bebas.
Sebelum ini BN Perlis menamakan adik Shahidan, Datuk Ismail Kassim untuk menggalas tanggungjawab sebagai Menteri Besar yang baharu selepas Pilihan Raya Umum ke-14 berakhir pada 9 Mei lalu.











