Janji caruman KWSP suri rumah dipenuhi - Utusan Malaysia

Janji caruman KWSP suri rumah dipenuhi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA 24 Mei – Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, beliau akan bertemu dengan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) minggu hadapan berhubung pelaksanaan caruman KWSP kepada suri rumah.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, kerajaan komited menunaikan janji memperkenalkan skim caruman KWSP untuk suri rumah itu yang merupakan antara 10 janji yang perlu dipenuhi dalam tempoh 100 hari kerajaan Pakatan Harapan.

“Kita perlu menentukan mekanisme seperti siapa yang layak dan bagaimana kaedah untuk diberikan kerana caruman dua peratus adalah daripada gaji suami dan kita ada pengiraan kalau (suami ada) isteri satu, dua atau tiga, kalaulah yang Islam.

“Mekanisme akan dikaji secara mendalam kerana ini juga membabitkan dana kerajaan (caruman) RM50 kepada sesiapa yang layak menerima,” katanya dalam sidang akhbar selepas memulakan tugas rasmi di Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) di sini hari ini.

Selain itu, Wan Azizah turut menyempurnakan majlis menerima nota serah tugas daripada bekas Menteri Pembangunan Wani­ta, Keluarga dan Masyarakat, Da­tuk Seri Rohani Abdul Karim dengan turut disaksikan Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Suriani Ahmad.

Dalam pada itu, berhubung sta­tus Program Permata Negara (Permata), Wan Azizah berkata, pertemuan dengan pengurusan program itu diadakan hari ini bagi mengadakan perbincangan yang lebih mendalam.

“Apa yang baik dalam program Permata atau mana-mana program kementerian, kita akan te­ruskan dan kalau boleh kita membuat penambahbaikan, tetapi kita harus juga muhasabah diri dan membuat pengauditan,” katanya.

Berhubung tanggungjawab me­ngemudi kementerian berke­naan, Wan Azizah berkata, beliau akan mengambil pendekatan yang berpaksikan penglibatan, pengupayaan dan pemulihbaik­an selain bekerjasama dengan pertubuhan-pertubuhan bukan ke­rajaan (NGO) dan kumpulan-kumpulan berkepentingan.

“Kita juga akan berbincang dengan Peguam Negara mengenai keperluan mengkaji undang-undang sedia ada agar ia lebih berkesan dalam melindungi wanita dan kanak-kanak. Ini termasuklah un­dang-undang mengenai kesaksamaan gender,” katanya.

Ujar Wan Azizah lagi, beliau ju­ga akan mempercepatkan usul ke Parlimen membabitkan akta yang akan menjadikan jawatan pekerja sosial sebagai satu profesion bagi meningkatkan kualiti perkhidmat­an serta menjadikan kerjaya itu lebih menarik.

Dalam pada itu, Wan Azizah ber­kata, satu pasukan petugas khas mengenai masalah pertumbuhan terbantut kanak-kanak akan ditubuhkan memandangkan kajian antarabangsa menunjukkan pertumbuhan terbantut dan obesiti merupakan antara ma­salah yang berlaku kalangan kanak-kanak keluarga miskin.

“Kementerian juga telah men­g­ambil inisiatif menubuhkan pa­su­kan khas bagi mengkaji janji-janji berkenaan isu sosial yang disenaraikan dalam buku Manifesto Pakatan Harapan dan pasukan khas ini diketuai oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Strategik) kementerian,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×