KUALA LUMPUR 24 Mei – Keputusan Majlis Tertinggi (MT) UMNO bersetuju supaya semua jawatan di peringkat tertinggi dipertandingkan adalah petanda baik untuk perubahan budaya secara total dalam parti tersebut.
Pensyarah Kanan Bahagian Politik dan Polisi Awam Sekolah Perdana, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr. Mazlan Ali berkata, UMNO memerlukan reformasi dalaman dari segi budaya dan kepemimpinan untuk memastikan parti itu terus relevan dalam arena politik negara.
“Dalam UMNO sebelum ini bagaikan ada tembok yang menghalang penyertaan anak muda dan golongan berpendidikan serta profesional, iaitu budaya samseng dan bermewah-mewah yang menyebabkan golongan tersebut tidak berminat dengan UMNO.
“Keputusan mempertandingkan semua jawatan tertinggi ini akan membuka ruang supaya pemimpin yang benar-benar menjadi pilihan ahli diangkat, seterusnya memulakan proses perubahan budaya yang sangat diperlukan dalam UMNO,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Dua hari lalu, Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan bahawa MT UMNO secara sebulat suara bersetuju supaya semua jawatan di peringkat tertinggi dipertandingkan bagi memperkukuh lagi parti.
Dalam pada itu, Ketua Program Sains Politik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Russli Kamarudin berpendapat, keputusan tersebut mampu memastikan parti dipimpin oleh calon yang betul-betul diinginkan oleh rakyat secara amnya dan ahli khususnya.
Menurut beliau, ahli juga diberi peluang untuk membuat keputusan sendiri, sekali gus budaya ‘pemimpin serba tahu’ dan mengatur keinginan rakyat yang diamalkan sebelum ini dapat dihentikan.
“UMNO perlu mula berubah dari sekarang dan setiap pemimpinnya harus menunjukkan komitmen untuk berubah supaya parti ini tidak terus ditolak oleh orang Melayu, terutamanya orang muda dan golongan kelas menengah,” katanya.
Tambah beliau lagi, keputusan ini dapat mengelakkan ahli serta pemimpin parti saling menyalahkan antara satu sama lain kerana pemimpin yang diangkat adalah pilihan yang dibuat bersama.
“Satu perkara lagi, elakkan permainan politik wang yang mengangkat pemimpin tidak bermutu kerana ia terbukti merosakkan parti,” ujarnya.











