Hadkan tempoh bagi semua jawatan - Utusan Malaysia

Hadkan tempoh bagi semua jawatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 24 Mei – Kepe­mimpinan tertinggi UMNO dicadangkan untuk mengenakan had maksimum tempoh bagi semua jawatan parti di peringkat nasio­nal daripada Presiden sehingga ke ketua-ketua sayap.

KHAIRUL AZWAN
KHAIRUL AZWAN

Naib Ketua Pemuda UMNO, Se­nator Khairul Azwan Harun berkata, langkah itu bagi memastikan kepemimpinan parti sentiasa segar dan boleh membawa idea-idea baharu untuk terus mengukir sejarah.

Kata beliau, sejajar dengan usaha itu, sistem birokrasi yang lapuk seperti pendaftaran ahli UMNO harus dilupuskan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Proses generasi semula (rege­ne­ration) pemimpin UMNO tidak sepatutnya berlaku hanya selepas kekalahan pilihan raya. Mungkin sudah tiba masanya kita meletakkan had maksimum tempoh bagi semua jawatan parti di peringkat nasional, dari Presiden sehingga ke Ketua Pemuda.

“Terlalu ramai bakat baharu dan golongan berpotensi bertukar arah hanya kerana budaya mencantas yang menular dalam kalangan ahli sendiri di peringkat cawangan mahupun bahagian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Khairul Azwan berkata, UMNO tidak lagi boleh menjadi tempat untuk ‘parasit’ mengaut keuntungan mahupun mengeksploitasi pengaruh dan kedudukan dengan sewenang-we­nangnya.

Katanya, semua ahli perlu sedar terhadap perjuangan UMNO yang memerlukan keringat dan kesetiaan kepada parti dan bukannya demi kepentingan diri.

Justeru Khairul berkata, sudah tiba masanya untuk memperkenalkan sistem undian di peringkat akar umbi bagi membolehkan setiap ahli memilih Presiden dan jawatan-jawatan tertinggi dalam parti.

“Sudah pasti di saat bahtera UMNO dilanda badai, banyak ahli parti yang memilih untuk mening­galkan bahtera perjuangan ini. Tidak mengapa, biarkan mereka.

“UMNO kini memerlukan te­naga, sokongan dan sumbangan yang tidak berbelah-bahagi daripada mereka yang berpegang teguh kepada roh perjuangan keramat untuk menerajui tampuk kepemimpinan negara,” katanya.

Tambah Khairul Azwan, beliau percaya parti memerlukan pembaharuan dan pemulihan besar-besaran dari segi pemikiran, pendekatan dan gerak kerja dalam kalangan ahli.

“Sekian lama kita terlalu ‘syok sendiri’ beranggapan rakyat akan sentiasa mengikut telunjuk UMNO. Sudah terang lagi bersuluh, UMNO sebenarnya yang perlu akur dengan kehendak rakyat.

“Pemimpin yang kini berada di barisan hadapan bukan sahaja di­terima oleh ahli UMNO tetapi perlu juga diterima rakyat. Jika kita benar-benar ingin mendapatkan kembali mandat pemerintahan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), kita wajib menjadi relevan kepada seluruh rakyat Malaysia dan bukan setakat ahli UMNO sahaja.

“Kita harus keluar daripada­ kepompong khayalan yang ada sekarang. Pemimpin harus mengemudi bahtera dengan berani, bukan dengan ketakutan menghadapi ancaman daripada parti sendiri. Pemimpin UMNO mesti mempunyai visi untuk memastikan ahli bekerja lebih keras sepanjang lima tahun akan datang,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini