Azlan dipecat sebagai ahli BN - Utusan Malaysia

Azlan dipecat sebagai ahli BN

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 24 Mei – Barisan Nasional (BN) Perlis mempersoalkan pelantikan Datuk Seri Azlan Man sebagai Menteri Besar negeri itu kerana tidak menerima sebarang sokongan majoriti daripada mana-mana Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Pengerusi BN Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, sembilan ADUN BN yang menang dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) tidak menyokong pelantikan Azlan di Balai Menghadap, Istana Arau, sebaliknya mahu ADUN Tambun Tulan, Datuk Ismail Kassim memegang jawatan Menteri Besar.

“Seminggu sebelum raya, kita akan mengadap tuanku untuk mencapai keputusan ini. Kami berhak menentukan siapa pe­mimpin kami.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kalau buat keputusan seperti ini baik tak payah buat pilihan raya, lantik terus lagi senang,” katanya dalam sidang akhbar di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Setiausaha BN Perlis yang baharu dilantik sebagai Timbalan Pengerusi parti negeri, Datuk Zahidi Zainul Abidin dan sembilan ADUN BN negeri tersebut.

Dalam perkembangan sama, Shahidan yang juga Ahli Parlimen Arau berkata, Mesyuarat Perhubungan BN Negeri Perlis juga telah sebulat suara memecat Azlan kerana ingkar arahan parti dan BN Pusat akan memaklumkan perkara tersebut.

“Pemecatan beliau berkuat kuasa serta-merta pada hari ini, bermakna beliau merupakan ADUN Bebas dan Menteri Besar tanpa parti. Sepatutnya beliau tak perlu terima (jawatan Menteri Besar) sebab tiada sokongan majoriti, ADUN Pas dan PKR di Perlis pun tak sokong beliau, ini bermakna beliau tidak ada sokongan langsung,” katanya.

Sehubungan itu, Shahidan yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri meminta kerjasama baik daripada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad supaya campur tangan membantu menyelesaikan isu pelantikan Menteri Besar Perlis.

Katanya, Dr. Mahathir yang dilantik menjadi Perdana Menteri atas sokongan majoriti Pakatan Harapan perlu melihat semula pemilihan Menteri Besar berdasarkan sokongan majoriti, bukan pilihan hati raja semata-mata.

Selain itu, beliau turut me­rayu supaya Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dapat memberi pandangan kerana ketokohan baginda sebagai pakar undang-undang.

“Saya memohon Sultan Nazrin untuk memberi pandangan mengenai perkara ini kerana baginda pernah memberi pandangan berhubung pelantikan Yang di-Pertuan Agong sebelum ini,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini