SEOUL 24 Mei – Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump telah membatalkan sidang kemuncak yang dirancang dengan pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un,
Trump berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan ‘kemarahan yang keterlaluan dan perseteruan terbuka’ dalam kenyataan terbaharu Korea Utara.
Sehubungan itu, Trump berkata, adalah ‘tidak sesuai’ untuk mengadakan sidang kemuncak di Singapura yang dijadualkan pada 12 Jun ini.
Dalam suratnya kepada pemimpin Korea Utara itu, Trump berkata, beliau benar-benar berharap dapat bertemu dengan Jong-un satu hari nanti.
Korea Utara hari ini mengecam Naib Presiden Amerika Syarikat (AS), Mike Pence sebagai ‘jahil dan bodoh’ berhubung komen dibuat pemimpin itu mengenai rancangan persidangan dengan Donald Trump selain mengancam untuk membatalkan sidang kemuncak antara kedua-dua negara.
Kecaman itu dibuat oleh Naib Menteri Hal Ehwal Luar Korea Utara, Choe Son-hui ekoran satu temu ramah Pence pada Isnin lalu yang memberi amaran kepada pemimpin Kim Jong-un bahawa adalah satu kesilapan besar jika beliau cuba ‘mempermain-mainkan’ Trump.
Malah, Pence turut mendakwa nasib Korea Utara boleh menjadi seperti Libya, yang pernah menyaksikan bekas pemimpinnya, Muammar Gaddafi dibunuh sebaik sahaja melucutkan senjata nuklearnya jika sekiranya Jong-un tidak memeterai perjanjian.
“Saya tidak dapat menyorokkan rasa terkejut saya terhadap kenyataan jahil dan bodoh itu keluar daripada mulut Naib Presiden AS.
“Kami tidak akan merayu Amerika untuk berdialog atau bersusah payah memujuk jika mereka tidak mahu duduk bersama kami, malah saya mungkin mencadangkan kepada Jong-un supaya membatalkan persidangan itu jika Washington terus membuat ancaman sedemikian,” katanya.
Komen serupa yang membandingkan Korea Utara dan Libya dibuat Penasihat Keselamatan Trump, John Bolton yang menyaksikan ancaman pertama oleh Pyongyang untuk membatalkan pertemuan di Singapura itu.
“Sama ada AS akan bertemu kami di sebuah bilik mesyuarat atau berdepan dengan kami dalam pertembungan senjata nuklear semuanya bergantung kepada keputusan dan sikap AS,” jelas Son-hui.
Sebelum ini, Presiden AS, Trump memberi bayangan nasib sidang kemuncak antara beliau dan Jong-un akan ditentukan minggu depan ketika pembantu presiden itu terbang ke Singapura dalam satu misi persediaan.











