SEREMBAN 24 Mei – Akibat keadaan rumah yang usang dan daif, seorang ibu tunggal di Kampung Nyior Hijau, Ampangan di sini terpaksa tidur di kandang kambing atau reban ayam milik jirannya setiap kali hujan lebat.
Marina Ismail, 63, berkata, dia tidak mempunyai pilihan lain untuk berteduh kerana bumbung rumahnya bocor dan keadaan dinding dan lantai rumah yang semakin ‘mereput’.
Wanita yang menghidap penyakit kencing manis itu berkata, dia tinggal berseorangan selepas anaknya yang berusia 40 tahun tidak lagi tinggal bersamanya sejak beberapa tahun lalu.
“Jika hujan, saya akan tidur di kandang kambing atau reban ayam di depan rumah saya. Saya tidak mahu pindah kerana sangat sayangkan tempat ini dan sudah mendiami kawasan ini sejak 63 tahun lalu.
“Saya sudah biasa hidup dalam keadaan daif begini dan sudah 24 tahun tidak menyambut Aidilfitri seperti orang lain,” katanya ketika ditemui di rumahnya.
Mariam berkata, dia tinggal di rumah itu sejak kecil dan ibunya meninggal dunia 24 tahun lalu akibat penyakit batuk kering manakala bapanya meninggal dunia ketika dia berusia lima tahun.
Ibu tunggal itu berkata, hidupnya kini bergantung pada belas ehsan jiran terdekat selain mendapat bantuan daripada Baitulmal dan Jabatan Kebajikan Masyakat (JKM) masing-masing sebanyak RM300 dan RM350.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Ampangan, Dr. Mohamad Rafie Ab. Malek ketika dihubungi berkata, Mariam tinggal di tanah milik Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan keadaan itu sebenarnya membahayakan dirinya kerana rumah itu terletak berhampiran sungai.
Mohamad Rafie berkata, beliau sudah beberapa kali memujuk wanita itu supaya berpindah ke rumah yang lebih selesa tetapi dia enggan untuk meninggalkan rumah berkenaan.
“Kita akan terus memujuknya sehingga dia setuju untuk pindah.
“Keadaan rumahnya amat daif dan kerap dilanda banjir kerana dekat dengan sungai. Tambahan pula dia tinggal bersendirian, di situ,” katanya.











