Festival Maksaira popularkan Kepulauan Sula - Utusan Malaysia

Festival Maksaira popularkan Kepulauan Sula

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JARUM jam menunjukkan tepat pukul 11 malam, namun ribuan penduduk yang berada di Pantai Wai Ipa, Sanana, ibu kota Kabupaten Kepulauan Sula, Maluku Utara belum menunjukkan sebarang tanda untuk pulang ke rumah masing-masing.

Mereka dilihat seolah-olah sedang hanyut dengan irama muzik dangdut yang dipersembahkan penyanyi Kumpulan 3 Serigala yang didatangkan khas dari Jakarta.

Penduduk Sanana dan kawasan berhampiran pada hari itu bagaikan berpesta menyambut kedatangan Festival Maksaira 2018.

Memuatkan artikel berkaitan…

Boleh dikatakan separuh daripada masyarakat bandar itu turun beramai-ramai ke pantai untuk menyaksikan persembahan hiburan yang jarang-jarang dinikmati.

Kumpulan 3 Serigala atau lebih dikenali sebagai Trio Macan yang terdiri daripada Lia, Angel dan Dian seolah-olah sudah faham dan tahu bagaimana mahu menghiburkan ribuan rakyat yang kebanyakannya bekerja sebagai nelayan serta petani.

Bukan sahaja Kumpulan 3 Serigala, Festival Maksaira kali ini turut membawakan beberapa artis lain seperti Selfi Nafilah dan Briptu Fahrin Ilham Silayar.

Daripada satu sudut berbeza dan tidak jauh dari panggung utama tempat kumpulan itu menghiburkan pengunjung, muzik yang tidak kurang meriah yang datangnya dari sebuah kafe turut kedengaran.

Perang muzik

Walaupun hanya bergantung kepada penyanyi tempatan dengan keupayaan pengunjung yang terbatas, kafe itu tetap menghiburkan penonton yang sedang menjamu selera menerusi alunan muzik campuran daripada genre dangdut hingga pop Barat.

Perang muzik memang tidak dapat dielakkan walaupun yang paling dominan adalah bunyi muzik dari panggung utama kerana dilengkapi dengan sistem audio yang jauh lebih canggih.

Pada majlis yang dihiburkan dengan persembahan penyanyi Kumpulan 3 Serigala, Bupati Kepulauan Sula, Hendrata Thes turut hadir bagi menjayakan majlis penutup Festival Maksaira 2018 dengan agenda utama pemecahan rekod Muzium Rekod Dunia Indonesia (Muri) bagi kategori hasil pancingan ikan paling banyak terutamanya jenis ikan kerapu.

Malam itu juga berlangsungnya acara penyampaian hadiah kepada tiga pemenang utama peserta memancing iaitu tiga buah kapal jenis fiber lengkap dengan enjin yang bernilai sekitar Rp150 juta (RM4,235).

Data daripada urus setia festival, direkodkan sebanyak 713 sampan, 125 perahu kecil, 79 bot panjang, 248 bot fiber dan 12 kapal berserta enjin digunakan 3,041 peserta dari 47 kampung pada Festival Maksaira kali ini.

Lokasi memancing ialah dari Pantai Wai Ipa sehingga ke Kampung Baju dengan keluasan kira-kira 20 kilometer.

Disebabkan rekod Muri bagi kategori pertandingan memancing dengan peserta terbanyak sudah dimenangi peserta dari daerah lain, urus setia akhirnya mengubah kategori rekod kepada pemancing ikan jenis kerapu terbanyak yang mencapai kira-kira 1,500 ekor.

Secara falsafah, maksaira dalam erti kata lain mempunyai maksud sebagai pertemuan para pemimpin tradisional yang melakukan musyawarah untuk mencapai kesepakatan dalam perpaduan termasuk aspek pembangunan serta semangat kerjasama.

Maksaira adalah budaya masyarakat Sula yang berasal daripada kehidupan nenek moyang mereka dan telah menjadi tradisi dalam memulakan konsep pembangunan di kepulauan itu.

Maksaira juga adalah penyampaian aspirasi rakyat yang diwakili oleh pemimpin-pemimpin ketua wakil masing-masing serta satu wadah bagi menyatukan seluruh masyarakat Sula.

Perhatian

Tidak dapat dinafikan ramai rakyat Indonesia yang tidak tahu tentang kewujudan Kabupaten Kepulauan Sulu yang merupakan hasil pengembangan daripada kabupaten asal, Halmahera sejak tahun 2003.

Bukan itu sahaja, kesemua 10 krew media nasional Indonesia yang dijemput pemerintah daerah Sula untuk mengikuti Festival Maksaira 2018 juga tidak pernah mendengar tentang kawasan itu sebelum ini.

Kewujudan Kepulauan Sula belum begitu popular jika dibandingkan dengan kawasan-kawasan lain di Maluku seperti Ternate, Tidore dan Merotai.

Seperti yang diakui Hendarta Thes, Festival Maksaira yang menelan kos sebanyak Rp2.7 juta (RM761) itu adalah untuk membuka mata kerajaan negeri Maluku Utara dan pemerintah pusat Kepulauan Sula yang termasuk dalam kategori daerah 3T (tertinggal, terbelakang, terdepan).

“Sula merupakan sebahagian daripada Indonesia yang perlu diberi perhatian serius. Kedudukannya amat strategik, namun banyak perkara yang terabai.

“Oleh kerana itu, kami amat mengharapkan pihak pemerintah Indonesia memberi tumpuan yang sebaiknya kepada kepulauan ini,” ujar lelaki kelahiran Sula itu.

Untuk mengunjungi Kepulauan Sula, terdapat laluan laut dari Ternate yang memerlukan masa antara 14 hingga 16 jam atau dari Ambon yang mengambil masa perjalanan lebih kurang 12 jam.

Bagi pengangkutan udara pula, orang ramai boleh mengakses Kepulauan Sula dengan mengambil masa sejam setengah jika menggunakan perkhidmatan pesawat yang disediakan Susi Airlines di dua terminal berhampiran iaitu Lapangan Terbang Sultan Babullah, Ternate atau Lapangan Terbang Pattimura, Ambon.

Kekangan pengangkutan itu menyebabkan Kepulauan Sula sering dianggap sebagai kawasan terpencil sehingga tidak menjadi pilihan pelancong sama ada dari dalam negeri mahupun luar negara.

Pelancongan marin

Bagaimanapun, keadaan Lapangan Terbang Emalamo di Sanana yang hanya memiliki landasan sepanjang 1,100 meter itu membolehkan pesawat kecil jenis caravan yang memuatkan 12 penumpang mendarat.

Kos menggunakan pengangkutan udara dari Ternate atau Ambon hanya kira-kira Rp300,000 (RM84.70) bagi setiap penumpang. Ia jauh lebih murah berbanding menggunakan pengangkutan darat yang menelan belanja Rp600,000 (RM169.50).

Sebagai satu kepulauan, pelancongan marin tetap menjadi teras untuk menarik pelancong bagi melakukan pelbagai aktiviti seperti snorkel, menyelam, skuba serta bersantai di pasir putih yang bersih.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini