SHAH ALAM 24 Mei – Menteri Besar Selangor, Datul Seri Mohamed Azmin Ali tidak memberi jaminan sama ada pengganti jawatan yang disandangnya ketika ini akan kekal dipegang oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada PKR.
Ketika ditemui di Masjid Al-Wathiqu Billah Tuanku Mizan Zainal Abidin di Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini, beliau menyatakan buat masa ini pimpinan Pakatan Harapan (PH) Selangor masih belum mengadakan sebarang perbincangan mengenai perkara itu.
“Kita belum ada keputusan (calon Menteri Besar Selangor yang baharu). Prosesnya kita akan bincang dengan parti-parti komponen Pakatan Harapan Selangor.
“Khabar angin kononnya ada dua, tiga nama calon diserah kepada Sultan Selangor untuk dipertimbangkan jawatan itu tidak betul. Soal calon daripada parti mana yang akan mengisi jawatan itu tidak timbul kerana kita perlu ada perbincangan terlebih dahulu,” katanya, di sini malam ini.
Ketika ditanya lanjut bilakah perbincangan itu akan diadakan, Mohamed Azmin yang juga PH Selangor itu memaklumkan ianya dijangka akan diadakan pada minggu depan.
Namun, beliau tidak memaklumkan tempoh sebenar serahan nama calon Menteri Besar baharu itu akan diserahkan kepada Sultan Selangor untuk perkenan pelantikan.
Sebaliknya, beliau tidak menolak kemungkinan pelantikan jawatan itu akan dapat disempurnakan selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri nanti.
Mohamed Azmin dijangka akan melepaskan jawatannya sebagai Menteri Besar Selangor ketika ini selepas mengangkat sumpah jawatan Menteri Hal Ehwal Ekonomi di peringkat Persekutuan, 21 Mei lalu.
Terdahulu, Mohamed mengiringi Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengadakan bacaan surah Yasin dan berbuka puasa bersama warga UiTM serta menyumbangkan sumbangan Hari Raya kepada 57 asnaf.
Hadir mengiringi baginda ialah Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin; Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah; Naib Canselor UiTM, Prof. Emeritus Datuk Dr. Hassan Said dan Presiden Persatuan Alumni UiTM, Datuk Mohd. Zaini Hassan. – UTUSAN ONLINE











