KUALA LUMPUR 24 Mei – Sayap Wira Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan sama ada Pas menerima dana daripada sumber yang tidak dibenarkan dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) baru-baru ini.
![]() |
|
BURHANUDDIN
|
Ketua pergerakannya, Burhanuddin Ruslan menjelaskan, siasatan itu perlu dijalankan kerana sebagai sebuah parti sederhana agak mustahil untuk Pas menyediakan wang deposit yang besar dalam PRU-14.
“Pas merupakan parti yang cukup sederhana dan sebahagian besar dana untuk menggerakkan parti adalah hasil sumbangan daripada ahli-ahlinya malah kutipan derma dilakukan ketika ceramah diadakan.
“Dalam PRU-14 lalu mereka meletakkan 158 calon bagi kerusi Parlimen dan 375 bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) malah mengikut pengiraan Pas mungkin membelanjakan kira-kira RM74.5 juta sebagai wang deposit dan lain-lain kos sepanjang berkempen,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambahnya, agak mustahil sekiranya Pas mampu menyediakan dana yang besar tanpa mendapatkan mana-mana bantuan atau mempunyai hubungan dengan pihak yang mampu menyediakan dana yang besar. – UTUSAN ONLINE












