TIDAK menghairankan apabila Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu menegaskan beliau agak gementar dan masih menyesuaikan diri dengan tanggungjawab mengurus sebuah kementerian yang boleh dikelaskan dalam bahagian kritikal.
Gementar bukan sahaja kerana sebagai menteri beliau mempunyai protokol tertentu tetapi juga kerana portfolio beliau berkait rapat dengan negara jiran apabila faktor pertahanan dan keselamatan diambil kira.
Mohamad sebagai ahli politik lebih sinonim dengan sikap bersahaja beliau dan kadang kala bercakap secara semberono dan sebab itu kegusaran beliau amat difahami kerana tanggungjawab yang dipikul bukan calang-calang beratnya.
“Saya perlu cermat kerana sebarang percakapan akan dilihat dan dikaji pihak kawan dan juga lawan dalam politik merangkumi dalam serta luar negara.
“Memang kena sesuaikan diri dengan kehidupan baharu tetapi saya tak akan ubah style saya,” kata beliau ketika tiba di Wisma Pertahanan bagi memulakan hari pertama selaku Menteri Pertahanan kelmarin.
Apabila menjawab pertanyaan mengenai beberapa skandal yang melanda Angkatan Tentera Malaysia (ATM), antara lain Mohamad menegaskan isu seperti skandal kapal dan penjualan tanah milik ATM, kementerian akan kaji menerusi siasatan dalaman dan luaran sebelum mengambil sebarang tindakan.
“Saya tidak mahu ambil tindakan berdasarkan khabar angin kerana itu boleh merosakkan imej individu dan jabatan,” tegas Mohamad sebagai Menteri Pertahanan yang agak berbeza lenggoknya dengan sikap semberono beliau yang begitu serasi dengan rakyat umum.
Mohamad belum lagi menyentuh isu tuntutan bertindih sempadan maritim di Laut China Selatan kerana pada ketika ini Beijing dilihat begitu agresif menggunakan kekuatan tentera mereka sebagai tekanan terhadap negara yang menentang tuntutan China dan Malaysia terbabit secara langsung dalam kemelut ini.
Beberapa hari lalu dalam latihan ketenteraan tentera China di kawasan tersebut, pesawat pengebom jarak jauh H-6K telah berjaya mendarat di salah sebuah terumbu yang ditambak di Kepulauan Spratly yang berhampiran dengan beberapa buah terumbu dan pulau milik Malaysia. Perkembangan terbaharu ini amat membimbangkan bukan sahaja Malaysia tetapi juga ASEAN.
Begitu jua dengan Amerika Syarikat (AS) yang begitu aktif melaksanakan program kebebasan pelayaran di kawasan terbabit dan sering kali mengguna laluan yang terletak dalam Zon Ekslusif Ekonomi (EEZ) Malaysia sebagai strategi tekanan tindak balas terhadap China. Oleh kerana Malaysia masih belum mempunyai Menteri Luar maka sudah pasti menjadi tanggungjawab Mohamad untuk berdepan dengan isu Laut China Selatan pada ketika ini.
Begitu jua dengan isu kewujudan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSZone) sama ada berkesan atau sebaliknya menangani isu keselamatan di Sabah sudah pasti akan disuarakan oleh Kerajaan Negeri Sabah yang baharu.
Setiap keputusan yang bakal dibuat perlu mengambil kira dua negara jiran yang lain iaitu Filipina dan Indonesia kerana ia berkait rapat dengan perairan Laut Sulu.
Ini adalah kerana pada Oktober lalu tiga negara ini telah melancarkan program Pengawasan Udara Trilateral (TAP) untuk menjaga keselamatan di perairan Sulu dalam usaha mengekang ancaman pengganas serta penculikan melibatkan kawasan berkenaan.
Sebab itu dihujahkan setiap keputusan mengenai ESSZone berkait rapat dengan jiran Malaysia dan tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya.
Setiap kenyataan tidak kira sama ada dari Mohamad atau menteri baharu lain sudah pasti akan mendapat perhatian kerana kenyataan tersebut boleh dianggap sebagai warna atau arah tuju dasar kementerian yang dipertanggungjawabkan.
Umpamanya sebaik sahaja di umumkan oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bahawa jawatan Menteri Pengangkutan bakal disandang oleh Pengerusi DAP Negeri Sembilan, iaitu Anthony Loke Siew Fook, beliau telah mengeluarkan kenyataan bahawa salah satu isu tumpuan kementerian adalah mencari penyelesaian peristiwa kehilangan pesawat Penerbangan Malaysia MH370.
“Saya juga perlu melihat banyak perkara…banyak isu (seperti) keselamatan jalan raya, daya saing pelabuhan kita dan sudah tentu isu utama bagi kementerian adalah terus mencari kehilangan MH370.
Saya harap semasa memegang jawatan ini, kita akan dapat mencapai kesimpulan kepada isu MH370”, tambah Anthony.
Mengapa kenyataan Anthony mengenai MH370 menarik perhatian bukan sahaja rakyat Malaysia tetapi juga masyarakat antarabangsa kerana dua faktor utama. Pertama, pencarian yang sedang dilaksanakan masih belum menemui sebarang bukti yang menjurus pesawat berada di kawasan tersebut.
Pencarian yang dijangka berakhir pertengahan Jun ini dianggap perjanjian yang agak unik di antara kerajaan BN dan Ocean Infinity yang mana jika bukti sahih tidak ditemui maka tiada bayaran akan dibuat oleh Malaysia kepada syarikat tersebut.
Faktor kedua adalah kenyataan Anthony dikeluarkan ketika berlangsungnya sesi soal jawab oleh Jawatankuasa Senat Parlimen Australia terhadap peranan Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB) dalam kes pencarian MH370.
Jika dikaitkan kenyataan Anthony dengan kedua-dua faktor tersebut, maka tidak menghairankan perhatian diberikan oleh masyarakat antarabangsa.
Lazimnya, jika menteri itu orang baharu maka sudah pasti ada idea yang baharu dan seterusnya tentu berlaku perubahan dasar.
Asasnya adalah perubahan dasar yang berlaku adalah sebagai pembaikan kepada dasar sedia ada dan menjurus kepada manfaat yang lebih baik kepada rakyat dan negara.
Bukan sahaja kepada Mohamad dan Anthony harapan yang tinggi diletakkan oleh rakyat, tetapi juga menteri Kabinet lain yang telah dan bakal dilantik supaya mereka dapat berkhidmat untuk kesejahteraan negara.









