Membina keyakinan, mengekal kestabilan - Utusan Malaysia

Membina keyakinan, mengekal kestabilan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MALAYSIA kekal stabil dan aman. Suatu hakikat yang mampu disaksikan semua pihak, meski pun berlaku peralihan kuasa politik menerajui negara yang berubah ‘dalam sekelip mata’ pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) 9 Mei lalu. Mustahil tidak ada pihak yang tidak terkejut dengan perubahan secara tiba-tiba ini. Namun, kenyataannya, landskap politik Malaysia sudah berubah, setelah lebih enam dekad di bawah kuasa parti politik terdahulu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Mungkin ada sesetengah pihak luar sebelum ini ‘memasang harapan’ untuk melihat tercetus huru-hara atau sengketa ekoran berlaku peralihan sedemikian. Tetapi ternyata, sangkaan mereka meleset. Jarang situasi seumpama ini berlaku di mana-mana negara apabila berlaku peralihan kuasa ekoran pilihan raya umum.

Ertinya, rakyat Malaysia membuktikan daya kematangan tinggi dalam melaksanakan proses pilihan raya. Mereka telah membuat pemilihan mengikut citarasa dan keyakinan tersendiri. Dan mereka akur dengan keputusan yang telah tersurat. Sekali gus memberi makna, sistem demokrasi berparlimen di negara ini tetap hidup dan segar.

Malah tiada kelihatan mana-mana pihak atau kelompok parti-parti politik yang bersiap sedia lebih awal dengan pelan jangkaan (story board plan) untuk melancarkan sebarang tindakan ‘luar biasa’ jika berlaku keputusan yang tidak memihak kepada kelompok mereka.

Tiada yang lebih penting ketika ini daripada menjuruskan tumpuan bagi membina keyakinan dan mengekalkan kestabilan yang sudah dinikmati sejak sekian lama.

Kenyataan-kenyataan para pemimpin Malaysia Baharu mengenai jaminan perlindungan hak dan keistimewaan kepada Islam dan orang Melayu, selain ti­dak menafikan kedudukan kaum-kaum lain di Malaysia amat dialu-alukan dan boleh melegakan semua pihak.

Jaminan-jaminan se­perti sistem pemerintahan negara tetap berpandukan segala apa yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, dan cara hidup rakyat tetap berpandukan semangat Rukun Negara, tentunya dapat menghilangkan sebarang sangsi dan curiga bagi membina kehidupan yang makmur dan harmoni.

Menghayati apa yang ditegaskan beberapa kali oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, jelas, bahawa sistem dan struktur tadbir urus negara tetap ‘­dilingkari’ syarat dan peraturan sebagaimana terkan­dung dalam Perlembagaan sedia ada.

Ini ditambah pula dengan jaminan yang diberikan oleh Ketua Umum Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, agar orang Melayu dan bumiputera tidak perlu bimbang akan kehilangan nikmat dan manfaat yang dinikmati sejak enam dekad lalu. Malah katanya, perlindungan ke atas mereka akan dipertingkatkan.

Tambah Anwar, kerajaan Pakatan Harapan menghormati jaminan kepada orang Melayu seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Sementara itu, ramai yang kurang senang dengan laporan yang ditularkan di media sosial, kononnya seorang Ahli Parlimen mahu membawa usul ke Parlimen untuk mencadangkan supaya dihapuskan identiti agama di dalam kad pengenalan warganegara Malaysia. Rupa-rupanya berita itu bersifat palsu dan dinafikan oleh pihak terbabit. Justeru, hentikan sebarang penyebaran berita palsu. Kembalilah hidup melandasi kenyataan. Ambillah iktibar daripada pengaruh penyebaran berita palsu yang ‘meresahkan’ kehidupan. Rakyat Malaysia tentunya cintakan kedamaian dan kesejahteraan.

Ada baik jika dielak sebarang cadangan atau gesaan yang berbentuk provokasi sehingga boleh mencetus rasa kurang senang mana-mana kaum atau anutan agama. Dalam hubungan ini, sikap bersederhana wajar diutamakan. Tidak perlu bagi mana-mana pihak bersikap terburu-buru mengejar sesuatu asing dari konteks kehidupan bernegara yang sama-sama dinikmati sejak sekian lama.

Kerajaan baharu di bawah wadah Malaysia Baharu diharapkan membawa pembaharuan yang lebih mantap dan menyempurnakan lagi kehidupan. Rakyat Malaysia meletakkan harapan tinggi agar barisan kepimpinan khususnya para anggota Kabinet yang baharu dibentuk dapat menterjemahkan kesediaan memenuhi aspirasi rakyat dan negara.

Apa pun, rakyat Malaysia boleh meletakkan cagaran untuk menyakini barisan anggota Kabinet yang ada, ­berasaskan kepercayaan bahawa mereka adalah kala­ngan yang sentiasa memahami latar belakang struktur asas negara termasuk ikatan kontrak sosial dan acuan sebenar masyarakat Malaysia yang diwarisi sejak berzaman. Secara umumnya, tiada istilah terencat atau ter­halang di mana-mana bagi setiap rakyat untuk meneruskan usaha dan menerokai apa jua bidang demi meraih kejayaan dan kecemerlangan. Malaysia adalah negara kita!

DATUK SAYUTI MUKHTAR ialah penganalisis politik.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN