KUALA LUMPUR 23 Mei – Laman sesawang yang kononnya menyediakan kemudahan membuat tempahan untuk Perkhidmatan Pesakit Bayar Penuh (FPP) adalah palsu
Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan, Datuk Seri Dr. Chen Chaw Min berkata, pihak kementerian telah mengenal pasti sebuah laman sesawang iaitu myfpp.com.my yang mengenakan caj RM10.60 untuk membuat tempahan temujanji perkhidmatan itu.
Katanya, kementerian tidak pernah memberi kebenaran kepada mana-mana pihak untuk menerbitkan laman sesawang bagi menyediakan kemudahan membuat tempahan FPP termasuklah menggunakan logo Kementerian Kesihatan.
“Sekiranya orang awam menerima sebarang risalah atau Whatsapp mengenai perkhidmatan ini, dinasihatkan untuk membuat laporan di balai polis dengan segera.
“Pihak kementerian juga tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan sewajarnya dalam perkara ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini. – UTUSAN ONLINE











