KANGAR 22 Mei – Seramai 8,998 asnaf seluruh Perlis akan menerima zakat berjumlah RM3,599,200 daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).
Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selaku Yang DiPertua MAIPs berkenan menyampaikan zakat itu kepada 103 amil untuk diagihkan kepada mereka dalam sebuah majlis di Masjid Tuanku Syed Putra Jamalullail di sini, hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs Mohd Nazim Mohd Noor berkata setiap penerima akan mendapat wang zakat masing-masing sebanyak RM400 melalui amil di kariah masing-masing mulai hari ini.
Beliau berkata MAIPs menjangka kutipan zakat fitrah di Perlis tahun ini mencecah RM1.3 juta berbanding RM1.2 juta pada tahun lepas.
Terdahulu, Tuanku Syed Faizuddin menitahkan setinggi penghargaan kepada umat Islam yang membayar zakat di negeri ini termasuk zakat fitrah.
Pada majlis itu, baginda berkenan menyampaikan buku resit kutipan zakat fitrah kepada amil yang dilantik dan mereka akan membuat kutipan bermula 28 Mei ini hingga pagi Hari Raya Aidilfitri.
Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis menetapkan zakat fitrah bagi tahun ini RM7 seorang. – BERNAMA











