MELAKA 22 Mei – Hotel Avillion Legacy meraikan sebanyak 50 kanak-kanak yatim dari Pertubuhan Kebajikan Darul Aitam Pernu dalam majlis berbuka puasa yang diadakan di hotel tersebut di Jalan Hang Tuah di sini malam ini.
Program kemasyarakatan itu merupakan kali ke-13 dianjurkan untuk menceriakan kanak-kanak berusia antara tujuh hingga 17 tahun yang ditempatkan di pusat kebajikan itu yang beroperasi sejak 30 tahun lalu.
Menurut Pengurus Besar Avillion Legacy Melaka, Low Kee Nam, majlis berbuka puasa ini merupakan antara salah satu program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang disediakan dalam kalendar tahunan pihaknya.
“Sementara menunggu majlis berbuka puasa, pelbagai acara disediakan antaranya persembahan anak-anak yaim, acara sukaneka dalaman, kuiz serta penyampaian sumbangan dan duit raya kepada semua anak yatim.
“Sepanjang Ramadan ini juga pihak hotel menyediakan bufet Ramadan bermula pukul 6.30 petang hingga 9.30 malam dengan bayaran RM58 untuk dewasa dan RM28 untuk kanak-kanak,” katanya ketika ditemui pada majlis itu malam ini. – UTUSAN ONLINE











