SHAH ALAM – Lima pusat perjudian yang baharu beroperasi seawal tiga hari diserbu dalam Ops Dadu Judi Online (JOL) di sekitar Shah Alam dan Klang di sini hari ini.
Dalam serbuan serentak bermula pukul 3 petang itu, polis turut menahan 15 individu termasuk empat daripadanya adalah kaki judi berusia 20 hingga 30-an.
Kesemua yang ditahan melibatkan empat warga Bangladesh, Indonesia (2), Nepal (2), Myanmar (1) dan enam warga tempatan.
Ketua Penolong Pengarah Pasukan Tindakan Khas Anti Maksiast, Judi dan Gengsterisme (STAGG) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Mohd. Nazri Hussin berkata, serbuan tersebut adalah hasil maklumat dan intipan pihaknya terhadap kegiatan perjudian yang dilakukan di beberapa kawasan pusat komersil.
Katanya, ini termasuklah di Bandar Bukit Tinggi, Taman Klang Jaya, Pelabuhan Klang dan Bandar Park Land di Klang dan Taman Sri Muda di sini.
“Hasil serbuan itu, kita merampas termasuk 52 buah komputer riba, sembilan modem, empat mesin simulator judi, lima buku catitan, dua set komputer dan wang tunai berjumlah RM859.
“Jenis permainan JOL yang dilakukan termasuk Roulette, Archer, Red Blue, Wukong, Online Slot Games, logo kereta dan binatang,” katanya di sini hari ini. – K! ONLINE











