PUTRAJAYA 22 Mei – Datuk Seri Najib Tun Razak disiasat hampir lima jam Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kes penyelewengan SRC International Sdn. Bhd.
Bekas Perdana Menteri itu mula memberikan keterangan bermula pukul 10 pagi sehingga 2.15 petang.
Najib ketika ditemui berkata, beliau akan kembali semula ke SPRM untuk memberi keterangan berhubung kes itu pada Khamis ini.
Katanya, beliau telah memberi kerjasama dengam baik dengan memberi keterangan di samping mengemukakan dokumen kepada SPRM.
“Saya telah menjelaskan keterangan yang lebih terperinci menerusi pengesahan beberapa dokumen.
“Saya ucapkan terima kasih kepada SPRM kerana melakukan kerjasama dengan secara profesional,” katanya.
Kehadiran beliau ke pejabat SPRM turut ditemani peguamnya, Datuk Mohd. Yusof Zainal Abiden.
Pada 18 Mei lalu, SPRM menyerahkan notis kepada Najib agar hadir ke pejabat suruhanjaya bagi memberikan keterangan berhubung siasatan kes penyelewengan dalam SRC International Sdn. Bhd. iaitu anak syarikat 1Malaysia Development (1MDB). – UTUSAN ONLINE











