KOTA KINABALU 22 Mei – Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, fokus dan hala tuju kerajaan baharu yang dibentuk menerusi Parti Warisan Sabah (Warisan) adalah dengan memberi tumpuan kepada kesejahteraan rakyat secara menyeluruh.
Beliau berkata, selain itu, usaha untuk meningkatkan tahap perkhidmatan awam sekali gus memperkukuhkan kerjasama dengan pihak swasta antara perkara yang turut menjadi tumpuan beliau.
Menurutnya, pentadbiran baharu tersebut adalah selaras dengan apa yang telah dinyatakan dalam Pilihan Raya Umum Ke -14 (PRU-14) lalu.
“Kita telah nyatakan tentang keperluan bukan sahaja dalam aspek kerjasama dengan perkhidmatan awan dan swasta serta pembuat dasar agar dapat tingkatkan dari semasa ke semasa.
“Semua pihak harus peka dan sedar rakyat merupakan pelanggan kita dan kita berkhidmat untuk rakyat.
“Jadi adalah menjadi keutamaan kerajaan untuk melihat keperluan dan kehendak rakyat dapat dilaksanakan serta diselaraskan bagi memastikan kesejahteraan rakyat dapat diutamakan,” katanya selepas mempengerusi Mesyuarat bersama Ketua-Ketua Jabatan di sini hari ini.
Yang turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Tan Sri Sukarti Wakiman.
Dalam pada itu, Mohd. Shafie berkata, pentadbiran kerajaan negeri yang baharu dilihat mampu meletakkan pencapaian perkhidmatan awam di tahap yang memuaskan dalam tempoh tertentu.
“Saya yakin kalau ini kita dapat lakukan khususnya kerjasama dalam semua peringkat dan memahami tentang dasar yang diperkenalkan, kita boleh meletakkan pencapaian perkhidmatan awam di tahap yang memuaskan,” katanya.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai laporan polis yang dibuat Yang Dipertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin terhadap Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Tan Sri Musa Aman baru-baru ini, beliau berkata, perkara itu diserahkan sepenuhnya kepada Yang Dipertua Negeri untuk sebarang keputusan dan tindakan lanjut.
“Bagaimanapun saya berharap susulan laporan itu, pihak berkuasa dapat membuat siasatan sewajarnya,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE











