PUTRAJAYA 22 Mei – Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Datuk Seri Mohd Shukri Abdull diminta membuat laporan polis berhubung aduan nyawanya dirasakan terancam berikutan siasatan terhadap SRC International Sdn Bhd, bekas subsidiari 1Malaysia Development Berhad (1MDB), tiga tahun lalu.
Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) bertanggungjawab menjalankan siasatan sekiranya laporan mengenainya dibuat.
“Kalau ada aduan yang mengancam, maka pihak polis harus siasat dan mengesahkan fakta dan kemukakan hasil siasatan. Kalau ada prima facie, tindakan akan diambil,” katanya dalam sidang akhbar pertamanya di Kementerian Dalam Negeri di sini hari ini.
Shukri yang bercakap kepada pemberita hari ini mendedahkan beliau terpaksa meninggalkan Malaysia kerana merasakan nyawanya terancam ketika mengetuai siasatan ke atas skandal kewangan berkaitan kes SRC-1MDB, tiga tahun lalu.
Dalam pada itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, siasatan terhadap skandal 1MDB melibatkan pelbagai agensi namun PDRM akan cuba melengkapkan secepat mungkin siasatannya.
Sementara itu, ketika ditanya oleh seorang pemberita asing sama ada polis akan menjalankan siasatan semula terhadap kes pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu, Mohamad Fuzi berkata, beliau perlu berbincang dengan pegawai-pegawainya terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan. – UTUSAN ONLINE











