KUALA LUMPUR 22 Mei – Kementerian Kesihatan (KKM) memperuntukkan kira-kira RM2.9 juta setiap tahun bagi rawatan penyakit utama akibat merokok seperti kanser paru-paru, penyakit paru-paru kronik dan masalah jantung koronari di seluruh negara. Timbalan Pengarah Kesihatan Awam Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Dr. Sirajuddin Hashim berkata, anggaran kos rawatan untuk setiap individu yang menghidap penyakit tersebut adalah RM 21, 000 hingga RM 42,000 mengikut jenis penyakit. Beliau berkata, kerajaan menyediakan lebih 40 klinik kesihatan yang menawarkan rawatan kepada perokok bagi menghilangkan ketagihan secara percuma. “Sempena bulan Ramadan, KKM mengambil peluang menyampaikan mesej kesihatan kepada masyarakat memandangkan 95 peratus perokok beragama Islam menyatakan lebih mudah berhenti merokok dalam bulan ini.
“Berpuasa 14 jam sehari secara tidak langsung membantu perokok untuk lebih mudah berhenti kerana sepanjang tempoh itu mereka berupaya menahan diri daripada merokok,” katanya selepas merasmikan program Nafas Baru Bermula Ramadan di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE











