PUTRAJAYA 22 Mei – Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kementeriannya akan mengkaji semula kesesuaian beberapa akta sedia ada dalam pengurusan keselamatan negara.
Ujar beliau, akta-akta itu termasuk Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA), Akta Pencegahan Keganasan 2015 (POTA), Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah- langkah Khas) 2012 (SOSMA), Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, Akta Perhimpunan Aman 2012, Akta Hasutan 1948 dan hukuman gantung mandatori.
“Perbincangan akan dibuat dengan pelbagai
pertubuhan masyarakat sivil dan pertubuhan bukan kerajaan sebelum mana-mana peruntukan dipinda,” katanya dalam sidang akhbar pertamanya selepas memulakan tugas rasmi di Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini hari ini.
Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, kementeriannya memberi tumpuan untuk keselamatan negara terjamin dan kehidupan rakyat tidak terganggu dengan isu-isu keselamatan.
“Kita juga janjikan tiada penyalahgunaan kuasa, perkara ini kita janji dalam manifesto, kita nak elak penyalahgunaan kuasa dan rasuah,” katanya.
Sementara itu, Muhyiddin berkata, Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) akan terus dikekalkan kerana kepentingannya untuk menjaga keselamatan dan ketenteraman awam. – UTUSAN ONLINE











