Cinta baharu Anzalna selepas 20 tahun - Utusan Malaysia

Cinta baharu Anzalna selepas 20 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 21 Mei – Lebih 20 tahun tidak melukis, kira-kira dua bulan lalu pelakon Anzalna Nasir, 30, kembali memegang berus lukisan.

Cinta baharu Anzalna selepas 20 tahun
Anzalna Nasir

Apabila dia memuat naik hasil lukisannya dalam Instagram, ada yang memuji dan tidak kurang juga yang mendakwa itu bukan karya Anzalna.

Sebenarnya, setiap lukisan yang dipaparkan Anzalna dalam Instagramnya adalah hasil sentuhannya sendiri yang ada ketikanya dia hanya mengambil masa tidak sampai dua jam untuk menyiapkan karya tersebut.

Memuatkan artikel berkaitan…

Anzalna yang dihubungi Utusan Online memberitahu, sudah lama dia tidak melukis dan minat melukis itu datang kembali kira-kira dua bulan lalu.

“Dulu masa saya umur lapan tahun sewaktu kami menetap di Kanada, saya pernah masuk pertandingan melukis dan lukisan saya dipilih untuk dijadikan kad Krismas. Bila kami balik ke Malaysia sewaktu usia 10 tahun, sejak itu saya tidak melukis lagi.

“Entah mimpi apa, dua bulan lalu saya saja-saja conteng dan tunjuk pada daddy, dia kata cantik lukisan itu. Bila dapat pujian daripada daddy saya terus bersemangat untuk melukis semula.

“Saya tak ada lakar-lakar dengan pensel tapi terus dengan warna. Setakat ini saya cuma guna warna air saja, bukan pro (profesional) macam pelukis lain,” katanya merendah diri.

Tambah Anzalna, sejak minat melukis kembali bertaut di hatinya, dia sering menghabiskan masa dengan melukis. Bagaimanapun kata Anzalna, dia hanya melukis mengikut mood.

“Kalau buat lukisan bunga-bunga, cepat selesai, kadang-kadang tak sampai dua jam siap. Bab bunga saya pantas kerana saya suka. Macam lukisan Menara Eiffel, saya ambil masa dua hari sebab perlu teliti dan begitu juga dengan pemandangan laut di Phuket.

“Saya suka melukis gambar pemandangan. Kalau pergi bercuti, saya suka ambil gambar pemandangan sebab itulah dalam telefon saya penuh dengan gambar pemandangan berbanding gambar sendiri.

“Gambar-gambar itulah yang saya jadikan panduan untuk melukis,” katanya yang mengakui adakalanya tidak mendengar panggilan suami, Hanif Zaki kerana leka melukis.

Setakat ini dia sudah memiliki 10 koleksi lukisan dan lukisan Menara Eiffel telah dibeli oleh Syahirahayu selepas Anzalna menyatakan hasil jualan akan diberikan kepada mereka yang memerlukannya.

“Bila saya muat naik dalam Instagram, ada yang tanya jual tak? Saya okey saja kalau ada yang nak beli dan Alhamdulillah, sudah ada pembeli. Sebenarnya sayang nak jual tapi apabila fikirkan hasil jualan akan digunakan untuk membantu mereka yang susah, saya reda.

“Lagipun dalam bulan Ramadan, saya mahu rebut peluang bersedekah. Kalau dengan lukisan saya dapat membantu mereka yang susah, Insya-Allah, saya akan cuba buat lebih banyak lagi,” katanya yang selesai berlakon telefilem Renyai Takbir Raya dan Blog Laura. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN