SHAH ALAM 21 Mei – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah memperkenankan hasrat Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali untuk memegang jawatan sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi sekaligus memainkan peranan penting di peringkat Kerajaan Persekutuan.
![]() |
|
Sultan Sharafuddin Idris Shah
|
Perkenan baginda itu dimaklumkan Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani menerusi satu kenyataan rasmi yang dikeluarkan di sini pagi ini.
Menurutnya, baginda telah menerima penjelasan daripada Mohamed Azmin mengenai persetujuannya menerima jawatan berkenaan setelah mendapat pengesahan daripada Perdana Menteri termasuklah mengenai skop kerja dan bidang kuasa kementerian yang baharu.
“Sementara itu, Mohamed Azmin akan kekal memegang jawatan sebagai Menteri Besar Selangor buat sementara waktu sehingga tempoh peralihan kiasa kepada Menteri Besar Selangor yang baharu dapat dijalankan dengan lancar dan teratur,” kata Mohamad Munir.
Pada masa sama, beliau menyatakan bahawa Mohamed Azmin perlu mengemukakan senarai calon-calon untuk dilantik sebagai Menteri Besar yang baharu untuk penelitian serta perkenan Sultan Selangor.
Jelasnya, Mohamed Azmin akan melepaskan jawatannya sebagai Menteri Besar Selangor sebaik sahaja Sultan Selangor berkenan mengadakan pelantikan baharu jawatan itu.
“Proses yang dilaksanakan ini adalah selaras dengan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 dan Perlembagaan Persekutuan,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE.












